Siasatan membabitkan kes seorang murid yang mendakwa dipaksa memotong lidahnya sendiri dalam kejadian buli di sebuah sekolah di Klang, Khamis lalu, dijangka siap pada hujung minggu ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Azman Abdul Razak, berkata pihaknya sedang dalam proses mendapatkan keterangan daripada pelbagai pihak antaranya mangsa, saksi, suspek dan guru-guru sekolah yang terlibat.

"Merekodkan keterangan daripada mangsa, saksi dan suspek adalah cabaran terbesar pihak polis kerana mereka kanak-kanak kecil yang berumur kurang daripada 10 tahun.

"Kita perlu menunggu sehingga emosi mereka yang terlibat ini stabil terlebih dahulu sebelum keterangan boleh diambil supaya gambaran sebenar kejadian dapat diketahui," katanya ketika ditemui pemberita di Klang hari ini.

Katanya, semua kenyataan itu akan diserahkan kepada Bukit Aman untuk dikaji dan pihak forensik juga telah dipanggil untuk mendapatkan bahan bukti termasuk sampel darah bagi menyokong keterangan saksi.

Azman berkata, hasil siasatan lengkap itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Pada Khamis lalu, Muhammad Alif Shukran Alias, 8, mendakwa dipaksa memotong lidahnya sendiri oleh sekumpulan lima murid tahun tiga dari sekolah yang sama.

Berikutan kejadian itu, lidah mangsa putus sedikit di bahagian hujung dan menerima satu jahitan.

- Bernama