Jangan heret institusi diraja, Pemuda Umno bidas '3M'
Pemuda Umno membidas mereka yang mendalangi Kongres Rakyat semalam kerana cuba mengheret institusi diraja pula bagi menjayakan matlamat untuk menumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ini berikutan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, gerakan ‘Selamatkan Malaysia’ akan membawa satu juta tandatangan ke istana untuk menuntut peletakan jawatan Najib dan menggesa Raja-raja Melayu agar memberi tekanan kepada perdana menteri supaya berundur.
Bagi Ketua Penerangan Pemuda Umno, Jamawi Jaafar, tindakan semalam membuktikan kumpulan itu telah "kehabisan modal".
“Tindakan melibatkan institusi diraja dalam memberikan tekanan terhadap Najib untuk meletakkan jawatan juga dianggap sebagai tindakan ‘last kopek’ dan sangat terdesak kerana segala usaha yang dilakukan pakatan tersebut sebelum ini telah menemui jalan buntu...
“Justeru, saya ingin menyeru kepada ‘geng’ 3M iaitu - Mahathir, Tan Sri Muhyidin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir - agar menghentikan cubaan mengheret institusi diraja dalam meraih sokongan.
“Saya juga menyeru agar mereka menghentikan kerjasama mengarut dengan pihak pembangkang agar tidak terus diperguna oleh mereka. Sedar atau tidak, tindakan 3M tersebut bukannya dapat memperbaiki keadaan tetapi memberikan publisiti serta bekalan peluru percuma kepada pihak pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan media.
Jamawi turut menggesa Majlis Tertinggi Umno supaya segera memecat Muhyiddin dari Umno, kerana bersekongkol dengan pembangkang. Jawatan Muhyiddin selaku timbalan presiden parti kini digantung.
Mahathir semalam berkata beliau berharap pihak istana akan mendengar keluhan rakyat dan campur tangan dalam menggesa peletakan jawatan Najib.
Beliau mengingatkan semula bagaimana raja-raja Melayu memboikot angkat sumpah Gabenor-Jeneral British dari Malayan Union berikutan bantahan oleh rakyat yang membawa kepada pemansuhan kesatuan itu.
Menurutnya, Raja-raja juga berminat dalam isu berkenaan memandangkan titah mereka menggesa kerajaan untuk menyelesaikan segera isu 1MDB.

