BERITA Malaysiakini

IGP: Kami sedang periksa pendedahan OSA Rafizi

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Polis sedang memeriksa jika dokumen yang didedahkan oleh Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli adalah sebahagian daripada Laporan Ketua Audit Negara yang diklasifikasikan sebagai Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Jika ia terbukti dokumen OSA, maka kita tidak mempunyai pilihan tetapi untuk mengambil tindakan berdasarkan undang-undang," Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada Malaysiakini .

"Biar kami siasat dulu untuk menentukan sama ada dokumen itu adalah sebahagian daripada laporan Ketua Audit Negara," katanya, sambil menambah bahawa polis sedang memeriksa dengan Jabatan Audit Negara.

Khalid berkata sekiranya terbukti bahawa dokumen itu diklasifikasikan sebagai rahsia, maka polis juga akan menyiasat pihak yang membocorkannya.

Semalam, Rafizi mendedahkan dokumen yang didakwanya boleh membuktikan kaitan 1MDB dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Ahli Parlimen Pandan itu membuat keputusan drastik walaupun berdepan risiko dikenakan hukuman penjara mandatori sehingga maksimum tujuh tahun penjara kerana mendedahkan rahsia rasmi.

Berikutan itu, 1MDB menggesa Parlimen dan pihak berkuasa berkaitan lain supaya segera menyiasat Rafizi kerana mendakwa mendedahkan dokumen sulit.

"Rafizi tidak boleh mendakwa beliau adalah pendedah maklumat atau bertindak demi kepentingan awam, memandangkan PAC adalah pihak berkuasa yang sah dengan lima anggota pembangkang, sudah mempunyai akses dan sedang meneliti Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB," katanya dalam satu kenyataan.

Selain Rafizi, ahli PAC dan ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua juga adalah pengkritik lantang 1MDB, yang merupakan cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

1MDB, bagaimanapun, mendakwa tuduhan terhadap firma itu adalah bermotifkan politik.

[Baca berita penuh]