DAP menafikan parti itu mengeluarkan perintah tutup mulut kepada ahli-ahlinya daripada membincangkan skandal banglo Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Sebaliknya, menurut Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke, parti itu hanya memberi nasihat kepada ADUN Pulau Pinang supaya membiarkan jurucakap yang dilantik menangani skandal berkenaan sekiranya timbul isu-isu berkaitan.

Loke berkata selain Lim, jurucakap lain adalah pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, ahli exco negeri Jagdeep Singh Deo dan penasihat undang-undang parti dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo, yang mempunyai fakta penuh kes berkenaan.

"(Tetapi) jika mereka (ahli DAP) mahu bercakap tidak ada siapa yang boleh menghalang mereka.

“Kami tidak akan menghalang mereka," kata Ahli Parlimen Seremban itu kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Awal hari ini, The Star melaporkan bahawa perintah tutup mulut berhubung skandal itu telah dikenakan kepada semua pemimpin parti.

"Ia bukan perintah tutup mulut. The Star salah lapor lagi," kata Loke.

[Baca berita penuh]