Beberapa operator rekreasi pantai di Batu Ferringhi, Pulau Pinang kecewa kerana tidak mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan, walaupun perniagaan mereka turut terjejas akibat bencana tsunami pada 26 Disember lalu.

Walaupun orang ramai menyumbang berjuta-juta ringgit untuk tabung bencana tsunami, tetapi operator berkenaan mendakwa mereka tidak menerima sesen pun bantuan kerajaan atau dari tabung itu.

Seorang operator terbabit, A Chandara mendakwa beliau kerugian kira-kira RM45,000 kerana kerosakan peralatan rekreasi seperti ski air, bot laju dan peracut.

Beliau yang terbabit dalam perniagaan tersebut sejak 10 tahun lalu adalah antara enam operator yang mengendalikan aktiviti rekreasi air di Pantai Kilat.

"Pihak berkuasa dan parti-parti politik tidak langsung membantu kami," katanya.

Menurutnya lagi, terdapat pemimpin sebuah parti politik datang menemui beliau sebulan selepas bencana tersebut melanda.

"Mereka berkata akan mencari jalan untuk menghulurkan bantuan kewangan, tetapi sehingga ini tiada satu apa pun yang kami, operator di sini, dapat," tegasnya.

Menurut Chandra lagi, operator dan pekerja mereka sempat menyelamatkan diri serta meminimakan kerosakan peralatan rekreasi selepas dihubungi rakan-rakan mereka dari Langkawi untuk memaklumkan mengenai kedatangan tsunami.

Oleh itu, katanya, mereka sempat mengalih boat, ski air dan peralatan lain sebelum ombak tsunami melanda.

Dianaktiri

Seorang lagi operator yang tidak mahu namanya disebut, mendakwa mereka telah dianaktirikan oleh kerajaan yang tidak mengambil berat kesukaran mereka selepas kejadian tersebut.

"Kami bukan mempersoalkan bantuan yang disumbangkan kepada para nelayan. Tetapi kerajaan nampaknya, tidak memperdulikan kami, sedangkan kami juga turut menyumbang kepada ekonomi negeri," katanya.

Operator terbabit memperbaiki peralatan yang rosak dengan menggunakan wang sendiri dan wang sumbangan orang ramai untuk menyambung semula aktiviti perniagaan mereka kira-kira dua minggu selepas bencana tersebut melanda.

Chandra berkata, beliau turut menerima sumbangan RM1,800 daripada Kelab Sukan Pulau Pinang yang dianggotainya.

Bagaimanapun, katanya, sumber pendapatan mereka telah merosot kerana kejatuhan jumlah ketibaan pelancong asing.

Chandran menganggarkan beliau kehilangan sumber pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan.

"Kami menjangka pendapatan kami merosot sebanyak 80 peratus," kata Zulkifli, yang bertugas sebagai pengawal pantai.

Industri pelancongan menduduki tempat kedua terbesar selepas sektor perkilangan yang menjadi sumber pendapatan terbesar bagi Pulau Pinang.

"Ianya akan mengambil masa sebelum keadaan pulih seperti sediakala," kata seorang lagi pengawal pantai P Somasundram.

Manakala operator lain meramalkan perniagaan mereka hanya akan pulih antara bulan Julai dan September apabila pelancongan dari Timur Tengah dijangka bertumpu ke Pulau Pinang.

----------------------------------------------------------------------

ATHI VEERANGGAN adalah wartawan sambilan malaysiakini di Pulau Pinang