Tarikh akhir untuk pendatang tanpa izin meninggalkan negara ini pada 1 Mac depan dianggap oleh seorang ahli Parlimen Indonesia, Chaerul Anwar sebagai 'terlalu singkat".

Chaerul (kiri) kini berada di Malaysia bersama lima lagi ahli Parlimen dari Parti Keadilan Sejahtera (PKS) untuk mengumpul maklumat dengan mengunjungi kawasan tempat kerja pekerja Indonesia.

"Mereka hanya tinggal dua minggu sedangkan terdapat kira-kira 300,000 lagi pekerja Indonesia di sini. Macam mana mereka hendak pulang dalam tempoh sesingkat itu?" tegasnya ketika dihubungi hari ini.

"Kami berharap ianya akan diselesai dengan betul. Pekerja tanpa izin Indonesia mesti pulang dan majikan yang belum membayar gaji mereka, hendaklah berbuat demikian secepat mungkin," tambahnya.

Menurutnya, majikan dan pekerja sepatutnya diberi lebih masa untuk menangani keadaan tersebut.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata tindakan tegas terhadap pendatang haram akan dilancarkan 1 Mac depan, selepas beliau mengadakan perjumpaan dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.

Tarikh akhir pengampunan bagi pendatang tanpa izin, yang sebahagian besarnya rakyat Indonesia ,sudah dua kali dilanjutkan atas permintaan kerajaan republik itu.

Lawat tempat kerja

Ahli Parlimen dari PKS itu, yang tiba di sini Khamis lalu, telah meninjau keadaan pekerja Indonesia di tapak pembinaan, padang dan kilang. Mereka juga turut menemui pembantu rumah.

"Kami melawat lapan tempat di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur serta mengadakan perbincangan dengan pekerja terbabit mengenai keadaan hidup mereka," kata Chaerul.

Menurutnya, mereka mendapati majoriti pekerja Indonesia tidak mempunyai kontrak kerja dan pasport mereka sering disimpan oleh pihak majikan.

"Mereka menghadapi masalah apabila diperiksa pegawai penguatkuasa kerana mereka tidak dapat menunjukkan dokumen yang diperlukan," katanya.

Katanya, sesetengah pekerja memberitahu beliau bahawa syarat-syarat kontrak yang mereka tandatangani ketika di Indonesia adalah berbeza.

"Jika mereka bekerja lebih masa atau bekerja pada hari cuti am, mereka tidak mendapat bayaran tambahan. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana sebahagian besarnya tidak memahami undang-undang Malaysia. Mereka juga tidak tahu siapa yang harus dihubungi untuk mendapatkan bantuan apabila mereka berdepan dengan masalah," tambahnya.

Chaerul juga menegur Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur yang didakwanya tidak mengamalkan 'pendekatan yang progresif' untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi pekerja terbabit.

"Pekerja mengadu yang pihak kedutaan tidak melayan masalah mereka," katanya.

Chaerul dan rakan-rakannya akan menyediakan laporan hasil lawatan mereka ke negara ini dan akan dimaklumkan dalam satu sidang akhbar di Jakarta lewat minggu ini.

"Kami akan bercakap mengenai masalah yang dihadapi pekerja terbabit. Kami berharap kerajaan Malaysia dan Indonesia akan bekerjasama untuk menyelesaikannya," tegasnya.