KDN persoal himpunan peguam depan balai polis
Datuk Nur Jazlan Mohamed mempersoalkan tindakan Badan Peguam Malaysia menganjurkan bantahan di hadapan ibu pejabat polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur petang tadi.
Timbalan menteri dalam negeri ( gambar ) berkata, tindakan itu tidak profesional.
“Dah buat salah kenapa nak pertahankan orang yang salah? Majlis Peguam ini sudah tidak profesional dan bertindak sebagai parti politik.
“Majlis Peguam menggunakan platform tersebut untuk berpolitik dan bukannya memperjuangkan nasib peguam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran sistem pengiriman wang melalui potongan gaji, di Putrajaya, hari ini.
Majlis Peguam semalam mengedarkan pekeliling menggesa anggota Badan Peguam Malaysia berhimpun membantah terhadap apa yang didakwa mereka sebagai gangguan polis dalam urusan mereka.
Kira-kira 30 orang peguam, termasuk beberapa aktivis, hadir dalam acara itu.
Polis sedang merakam kenyataan tiga peguam berkaitan usul yang dibentangkan pada mesyuarat agung tahunan ke-70 Badan Peguam pada 19 Mac lalu yang membincangkan kedudukan Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali.
Perkara itu dibangkitkan selepas Apandil enggan mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung deposit di akaun bank peribadinya.
Polis telah merakamkan kenyataan Setiausaha Agung Majlis Peguam Karen Cheah awal hari. Keempat-empat mereka disiasat bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah, bagi maksud penyiasatan yang berbangkit daripada aduan berkenaan dengan Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948.

