Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMANAH: Umno, Najib hilang kredibiliti memimpin negara
Diterbitkan:  Apr 1, 2016 11:41 AM
Dikemaskini: 3:46 AM

Umno dilihat telah hilang kredibiliti untuk mentadbir negara ini ekoran pendedahan media asing berkenaan beberapa skandal yang membabitkan presiden parti Melayu itu Datuk Seri Najib Razak.

Ia berkaitan sikap boros Najib membelanjakan jutaan ringgit telah mengaibkan rakyat dan negara malah dalam masa yang sama beliau telah hilang wibawa untuk meneruskan pentadbirannya kata Pengarah Strategi AMANAH, Dr Dzulkefly Ahmad.

“Umno dan BN hilang maruah memerintah negara... bukan sahaja parti dan barisan politik mereka, bahkan juga wibawa dan nama-baik negara terus dirobek.

“Umno-BN sesungguhnya telah hilang kredibiliti dan maruah untuk mentadbir negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selasa lalu, wartawan 'Four Corners', Australian Broadcasting Corporation ( ABC ) melaporkan jutaan ringgit dari akaun Ambank yang kononnya dimiliki oleh Najib dibelanjakan untuk pembelian barangan kemas, percutian, kereta mewah dan kempen politik .

Malah, The Wall Street Journal ( WSJ ) pula mendedahkan Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor menghabiskan AS$15 juta bagi percutian, membeli-belah dan barangan kemas . Perbelanjaan dilakukan di Amerika Syarikat, Malaysia, Itali dan di beberapa tempat lain.

Mengulas lanjut katanya dengan pendedahan itu, Umno dan BN seharusnya sedia maklum dengan sikap Najib sebagai perdana menteri, beliau pasti berakhir dengan mengundurkan diri atau pihak berkuasa akan mengambil tindakan keatasnya.

“Sebaliknya Najib disaksikan rakyat dan dunia, semakin bertambah kuat dan lebih ganas, sekaligus mencetuskan satu 'suasana-iklim ketakutan' atau 'state of fear', yang menyelubungi rakyat dan negara.

“Kerana terus mahu melindungi Najib, sama ada kerana takut atau dalam ilusi bahawa beliau tidak melakukan apa jua kesalahan, maka Umno perlu dihukum rakyat kerana sikap ringan dan culas ini,” katanya.

Justeru Dr Dzulkefly mengingatkan rakyat di negara ini bahawa Umno dan BN tidak boleh lagi memimpin dan mempertahankan maruah negara ini.

“Justeru rakyat wajar faham dan insaf, bahawa Umno-BN tidak langsung boleh diletakkan harapan untuk mempertahankan wibawa dan maruah negara…

“Kerana patriotisme mereka kepada negara, tidak boleh di atasi oleh kepentingan kepartaian sempit perjuangan politik mereka,” katanya.

Lihat Komen
ADS