Berbudi pada tanah pasti akan nampak hasilnya.
Inilah yang dibuktikan seorang bekas tentera yang mengusahakan durian belanda di
Bukit Kulim, Jalan Ijok-Sumpitan, dekat Larut sejak tiga tahun lepas.
Ismail Mahmod, 61, yang bercita-cita mahu menjadi jutawan durian belanda berkata setakat ini beliau telah menanam 2,000 batang pokok durian belanda dengan kos pelaburan sebanyak RM14,000.
Tidak menafikan memperoleh pendapatan lumayan setiap bulan, Ismail berkata ketika ini, 10 peratus daripada tanamannya itu telah mengeluarkan hasil.
"Ada tiga jenis durian belanda iaitu masam, masam manis dan manis. Saya tanam durian belanda jenis masam manis," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menurut Ismail, harga sekilogram buah berkenaan ketika ini adalah antara RM16 dan RM25 sekilogram dan ia sangat mendapat sambutan kerana dipercayai boleh mengubat penyakit kanser.
"Setiap minggu saya hantar 150 kilogram isi durian belanda ke Pulau Pinang, malah ada kalangan pembeli yang datang sendiri ke sini untuk mengambil buah itu," katanya.
Menjelas lanjut, Ismail yang menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1972 dan berhenti daripada perkhidmatan pada 1993 berkata beliau mengusahakan tanaman durian belanda di kawasan seluas empat hektar.
Sebelum itu, beliau turut menanam longan dan cili untuk menyara kehidupan keluarga, namun mendapati hasilnya kurang memberangsangkan.
Bapa kepada empat anak itu berhasrat untuk menanam 5,000 lagi pokok durian belanda dengan memperoleh keuntungan berganda.
Katanya setiap batang pokok durian belanda mengambil masa dua tahun untuk berbuah dan setiap pokok berbuah tiga kali dalam setahun.
Ismail yang dibantu isteri Norhayati Md. Rashid, 53 berkata beliau turut bercadang untuk mengusahakan minuman teh durian belanda daripada daun pokok berkenaan.
- Bernama
