Pegawai-pegawai daripada Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS) tidak boleh menyoal individu-individu di Malaysia tanpa kehadiran polis negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu Malaysiakini ketika diminta mengulas laporan agensi berita antarabangsa Reuters berhubung perkara itu.

Khalid juga mendedahkan bahawa Bukit Aman belum menerima pemberitahuan untuk mendapatkan bantuan daripada Jabatan keadilan AS.

“Seperti saya sebut sebelum ini, mereka mesti maklumkan kepada kita jika ingin soal-siasat sesiapa di negara ini. Ini prosedurnya.

“Setakat ini kita belum dimaklumkan apa-apa berkaitan soal jawab berkaitan siasatan 1MDB mereka,” tambahnya.

Memetik sumber-sumber yang tidak dinamakan, Reuters melaporkan pegawai Jabatan Keadilan AS berada di negara ini untuk berjumpa dengan beberapa individu dalam siasatan mereka ke atas 1MDB.

Ini susulan laporan Sarawak Report bahawa j abatan itu memohon perintah ekstradisi ke atas seorang individu yang ditahan di Abu Dhabi berkaitan dengan penyiasatan ke atas 1MDB.

Malaysiakini telah menghubungi Jabatan Keadilan AS untuk mendapatkan pengesahan.

Dakwaan skandal 1MDB kini disiasat oleh pihak berkuasa di enam negara luar, iaitu Switzerland, United Kingdom, Amerika Syarikat, Luxembourg, Singapura dan Hong Kong.

[Baca berita asal]