Parti Amanah Negara (AMANAH) akan bertanding 13 kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang.

Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub berkata, mereka telah mengadakan perbincangan dengan rakan Pakatan Harapan tentang perkara itu.

"13 kerusi tu telahpun kita arahkan bersiap sedia. Calon-calon dah kenal pasti, dan seluruh jentera dari seluruh negara telah diarahkan ke lokasi-lokasi yang telah ditetapkan," katanya.

Salahuddin berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat AMANAH di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau tidak mendedahkan di mana kerusi itu, tetapi berkata ia mungkin campuran kerusi bandar dan luar bandar.

Salahuddin berkata, kesemua calon juga merupakan anak jati Sarawak.

Rancangan AMANAH untuk bertanding 13 kerusi dilihat lebih bercita-cita tinggi daripada PAS yang hanya merancang untuk bertanding di 11 kerusi.

Amanah, yang hanya ditubuhkan tahun lepas, mempunyai 1,500 anggota di negeri ini.

Senarai dilarang masuk Sarawak

Setakat ini presiden AMANAH Mohamad Sabu disahkan berada dalam senarai larangan masuk ke Sarawak selepas dihantar pulang dari negeri ini dua minggu lalu.

Salahuddin bagaimanapun berkata mereka telah menghantar surat kepada pejabat Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem untuk membuat rayuan larangan itu.

Mengenai sama ada ia akan bertembung dengan PAS, Ketua Penerangan AMANAH Khalid Samad tidak menolak kemungkinan tersebut.

Sementara itu AMANAH hari ini turut melancarkan akhbar rasmi parti itu.

Akhbar itu tidak dikendalikan oleh parti itu sendiri, dan menggunakan khidmat Dateline Media Group, yang juga mengendalikan sebuah portal berita pro-AMANAH.