Msia hadapi kesukaran kesan anggota militan Thai
Malaysia menghadapi kesukaran untuk mengesan anggota militan Islam yang dikehendaki oleh kerajaanThailand kerana senarai nama yang diberikan oleh Bangkok adalah mengelirukan.
Malaysia menghadapi kesukaran untuk mengesan anggota militan Islam yang dikehendaki oleh kerajaanThailand kerana senarai nama yang diberikan oleh Bangkok adalah mengelirukan.
Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Datuk Abdul Aziz Mohamad Yusof memberitahu Bernama, senarai nama orang yang disyaki itu tidak lengkap dan tidak tepat.
"Adalah sukar untuk kita mengesan mereka kerana nama dan alamat mereka tidak betul dan sesetengahnya pula mempunyai tiga empat nama Thailand, dan ia kemudiannya diterjemah dan dieja dalam bahasa Melayu, dan aliasnya," kata beliau.
Malaysia telah menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Thailand dalam usaha negara itu untuk membanteras pemberotakan puak pemisah di wilayah selatannya.
Bagaimanapun, Malaysia telah menjelaskan, tuduhan pihak Thai bahawa ada anggota militan berlindung di kawasan sempadan negara ini, tidak disokong dengan butir-butir terperinci untuk membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka.
Pertelingkahan kecil
Awal tahun ini, Malaysia menangkap seorang lelaki yang didakwa oleh pihak Thailand sebagai perancang keganasan membabitkan puak pemisah Islam di wilayah selatan yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 570 orang terkorban tahun lalu.
Bagaimanapun, timbul kekeliruan mengenai nama dan kerakyatannya. Malaysia mengenalpasti lelaki itu sebagai Abdul Rahman Ahmad atau Deraman Koteh manakala Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra mengenalpastinya sebagai Doramae Kuteh atau Chae Kumae Kuteh.
Berikutan itu berlaku 'pertelingkahan kecil' antara kedua-dua negara selepas pihak berkuasa Thailand membocorkan penangkapan itu kepada pihak media dan berkata akan meminta Malaysia mengekstradisi lelaki itu kerana dia mempunyai dua kerakyatan.
Malaysia pula berkata, pihaknya belum menerima sebarang permohonan rasmi untuk mengekstradisi lelaki itu sambil menegaskan, tidak ada bukti yang menunjukkkan Abdul Rahman adalah rakyat Thailand.
- AFP

