Lau Jung Hien, sepupu Ahli Parlimen Lanang Alice Lau Kiong Yieng dari DAP adalah salah seorang daripada empat rakyat Malaysia yang diculik di perairan Semporna, Sabah malam tadi.
Dua lagi mangsa, Wong Teck Pang dan Wong Teck Chi, adalah saudara-mara Lau dari Sibu, manakala mangsa keempat, Wong Hung Song merupakan rakan mereka.
DAP dijangka memfailkan usul tergempar di Parlimen untuk membahaskan kes itu esok.
"Lau adalah sepupu Alice Lau ...... Mereka (mangsa) bekerja di (perairan Sabah)," kata sumber kepada Malaysiakini .
Ketua DAP Sarawak dan Ahli Parlimen Kuching Chong Chieng Jen, ketika dihubungi berkata, mereka akan membentangkan usul tergempar esok di Parlimen.
"Paling cepat ia boleh dibahaskan adalah lusa," katanya.
Menurut Peraturan Mesyuarat, usul tergempar hendaklah dikemukakan kepada speaker satu hari sebelum perdebatan.
Hanya apabila speaker memutuskan ia telah memenuhi tiga kriteria - bahawa ia adalah suatu perkara khusus, melibatkan kepentingan awam dan mendesak - barulah usul itu dibahaskan.
Empat mangsa diculik lapan lelaki bersenjata di perairan Semporna, Sabah ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia dari Filipina semalam.
Sabah menyaksikan peningkatan insiden penculikan selepas serangan oleh pejuang Sulu di Lahad Datu pada tahun 2012.
Beberapa kes penculikan pada tahun-tahun kebelakangan ini juga dilakukan melalui serangan pantas dari Selatan Filipina ke Sabah.
