Walaupun tidak menghadiri himpunan menentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) Sabtu lalu, namun PAS tetap konsisten menentang pelaksanaan cukai tersebut.

Ditanya mengenai ketidakhadiran wakil PAS pada perhimpunan tersebut, naib presidennya Idris Ahmad berkata pihaknya mempunyai komitmen lain.

"Kita konsisten menentang GST. Kita tak hadir kerana kita ada komitmen program lain.

“(Himpunan penoreh) getah di Sik," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Selain itu ditanya lagi sama ada PAS akan menyertai himpunan anjuran Pakatan Harapan, anggota parlimen Bukit Gantang itu hanya menjawab:

"Kita konsisten menentang. Tak semestinya (sertai himpunan anjuran Harapan)," katanya lagi.

Mat Sabu puas hati jumlah peserta

Sementara itu Presiden parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu ( gambar ) berkata beliau berpuas hati dengan kehadiran peserta pada himpunan GST Sabtu lalu.

"Kehadiran yang memuaskan ini menandakan rakyat mahu Perdana Menteri ditukar dan sistem negara ini diubah seterusnya GST yang menekan dan menindas rakyat dihapuskan serta merta," katanya.

Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu berkata segala kekurangan yang berlaku adalah biasa bagi setiap penganjuran program seperti itu.

"Mewakili pihak penganjur, kami memohon maaf di atas segala kekurangan yang berlaku dan akan cuba mengatasinya pada amasa akan datang," kata Mohamad dalam kenyataan.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk pasukan keselamatan negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan para peniaga yang memudahkan orang ramai menghilangkan lapar dan dahaga.