Portal pro-Najib: Mahathir menipu pada PRU lalu?
Sebuah portal penyokong tegar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengkritik seteru politiknya, Tun Dr Mahathir Mahathir berhubung kenyataannya semasa temu bual dengan Straits Times , Singapura.
Dalam laporan itu, bekas perdana menteri itu berkata BN boleh dikalahkan pada pilihan raya umum akan datang jika pengundian dijalankan dengan cara yang betul.
"Jika pilihan raya (diadakan) secara teratur, tanpa kekecohan, tanpa gangguan kepada peti undi dan sebagainya, saya rasa BN akan kalah," katanya.
Mengulas perkara itu, Mykmu.net menyoal sama ada ini bermakna Mahathir mengakui bahawa berdasarkan pengalamannya, pilihan raya di Malaysia boleh ditipu.
“Apakah maksud Mahathir pilihan raya umum di negara ini boleh ditipu ini berdasarkan pengalaman beliau? Apakah beliau pernah menjalankan penipuan untuk memenangi pilihan raya?” soalnya.
Menurut portal itu, adalah tidak mungkin untuk menipu dalam pilihan raya kerana proses itu dipantau oleh pelbagai NGO tempatan dan luar negara.
Paling buruk pun, katanya, pernah dilaporkan oleh NGO ialah ketidakadilan dalam liputan media dan pemecahan kawasan Parlimen.
Tambahan pula, Mykmu berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai trek rekod yang cemerlang dan diiktiraf antarabangsa.
“Masalah dengan masyarakat Malaysia hari ini ialah kita mempunyai bekas Perdana Menteri yang hampir nyanyuk dan ia disokong oleh pentaksub, kroni dan media yang mengejar populariti tanpa memikirkan kesan kenyataan beliau kepada negara dan institusi yang menjadi tunjang kepada negara ini.
“Mahathir akan berbuat apa sahaja untuk menjaga kepentingan beliau termasuklah jika perlu beliau menghancurkan Umno, BN dan negara ini.
“Kita doakan Mahathir dan keluarga beliau terus panjang umur agar mereka turut sama menerima kesan kemusnahan negara ini suatu masa nanti,” kata portal itu.
Mahathir, 90, telah berkali-kali memberi amaran bahawa BN akan kehilangan kuasa jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus menerajui parti pemerintah.
Perdana Menteri telah menafikan dakwaan rasuah terhadapnya dan menuduh Mahathir cuba untuk menumbangkannya.

