Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tiada asas untuk mengeluarkan kenyataan bahawa perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim bermotifkan politik, kata menteri luar negeri.

Sehubungan itu, kata Datuk Seri Anifah Aman, tiada sebarang asas juga untuk menyatakan bekas ketua pembangkang itu seorang tahanan politik.

"Berdasarkan instrumen antarabangsa, tiada definisi yang diterima pakai secara sejagat berkenaan istilah tahanan politik.

"Kerajaan Malaysia, sebagai panduan, telah merujuk kepada beberapa kriteria penentu dan mendapati bahawa kes Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memenuhi kriteria-kriteria tersebut untuk mentakrifkan beliau sebagai tahanan politik," katanya.

Menurut Anifah lagi, penahanan beliau mematuhi sepenuhnya piawaian antarabangsa hak asasi manusia dan pemenjaraan beliau adalah hasil perbicaraan yang adil.

Menteri luar negeri berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Kamarudin Jaafar (Tumpat) yang bertanyakan tindakan kerajaan terhadap pelbagai badan antarabangsa, termasuk di bawah PBB, yang menganggap pemenjaraan Anwar sebagai tindakan politik.

Kamarudin juga bertanyakan tentang pandangan bahawa Anwar sepatutnya dibebaskan.

Anwar sekarang sedang menjalani hukuman lima tahun penjara di Sungai Buloh setelah didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

PKR, parti yang dipimpin isterinya Datuk Seri Wan Azizah Ismail, bagaimanapun terus berkempen untuk pembebasan beliau atas alasan menjadi mangsa konspirasi politik.