Pembangkang diminta spesifik isu MARA
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin meminta supaya pembangkang secara spesifik memberitahu apakah perkara yang perlu diperbaiki oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Ia ekoran kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengatakan pembangkang akan memperbaiki institusi MARA sekiranya mereka berkuasa.
"Dia (Nik Nazmi) perlu spesifik tentang apa yang dia maksudkan yang perlu diperbaiki," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Selain itu, menteri belia dan sukan itu berkata, sebagai produk keluaran Mara beliau ingin memastikan bahawa pihak yang layak menerima pembiayaan dan bantuan dari badan tersebut diteruskan.
"MARA dah membantu ratusan dan ribuan rakyat Malaysia termasuk diri saya. Saya dapat pembiayaan dari MARA untuk ke universiti. Saya produk MARA dan bangga dengan itu.
"Kami mahu memastikan bahawa mereka yang berhak terus mendapat pinjaman dan bantuan," katanya lagi.

