Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengisytiharkan dividen sebanyak 4.75 peratus bagi tahun lalu, berbanding 4.50 peratus pada tahun 2003.

Kadar dividen yang lebih tinggi ini diisytiharkan berikutan pertambahan pendapatan yang diraih oleh kebanyakan kelas aset pelaburannya, khususnya pinjaman/bon dan ekuiti.

Pendapatan pelaburan kasar bagi tahun 2004 meningkat kepada RM11.76 bilion berbanding RM10.97 bilion tahun sebelumnya, kata KWSP dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Pendapatan bersih berjumlah RM10.3 bilion, selepas ditolak perbelanjaan operasi, bayaran bagi kematian dan faedah hilang upaya serta peruntukan bagi kerugian tidak nyata sebagai sebahagian daripada perakaunan berhemah.

Menurut laporan Bernama, bagi tahun ini, untuk membayar satu peratus dividen, KWSP memerlukan pendapatan sebanyak RM2.17 bilion, berbanding RM1.99 bilion pada 2003.

Kadar dividen 4.75 peratus yang diluluskan itu adalah 1.05 peratus lebih tinggi daripada purata kadar simpanan tetap untuk 12 bulan di bank-bank utama tempatan.

Nilai simpanan ahli

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Halim Ali, berkata Lembaga berpuas hati dengan prestasi keseluruhan KWSP dan kadar dividen ini menunjukkan strategi pelaburan KWSP yang berhemah dan berkesan dalam pasaran domestik.

"Kita akan teruskan usaha bagi memelihara dan meningkatkan nilai simpanan ahli," kata Abdul Halim.

Saiz dana KWSP berkembang sebanyak kira-kira RM20 juta pada 2004. Tahun lepas, sejumlah RM237.1 bilion telah dilaburkan dalam pelbagai instrumen, berbanding RM217.1 bilion setahun lalu.

Perbezaan ini menunjukkan kedudukan tunai bersih yang kukuh bagi KWSP.

KWSP merupakan kumpulan wang nasional yang bertujuan menyediakan jaminan kewangan untuk persaraan ahlinya.