Polis tak boleh tunggu sidang parlimen habis?
SUARA MP Tiada yang mengejutkan berhubung penahanan Rafizi Ramli, anggota parlimen Pandan.
Beliau sendiri sudah menjangkakan akan ditahan ekoran pendedahan dokumen maklumat sulit Jawatankuasa Kira kira Wang Negara (PAC) yang diklasifikasi bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) berkaitan maklumat isu salah guna kuasa 1MDB serta hubungan antara 1MDB dan LTAT.
Yang mengejutkan apabila polis tidak menghormati Parlimen, sEbagai institusi rakyat, yang masih dan akan bersidang sehingga Khamis 7 April 2016.
Sidang parlimen yang masih berlangsung ini dibuka dengan rasminya oleh Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong pada 7 Mac 2016.
Penahanan Rafizi adalah satu penghinaan terhadap yang Seri Paduka yang telah memperkenankan anggota-anggota parlimen bersidang untuk satu tempoh hingga 7 April 2016.
Penahanan beliau juga sebagai satu pencabulan dan penghinaan pihak polis terhadap parlimen, yang Rafizi salah seorang anggotanya.
Kenapa Polis tidak boleh bersabar menunggu sehingga parlimen selesai bersidang esok?
Siasatan bawah OSA bukan kesalahan jenayah berat yang perlu disegerakan penahanan terhadap Rafizi.
Tidak lain penahanan Rafizi hanya untuk menakutkan dan memesongkan pemikiran rakyat yang kononnya Rafizi yang bersalah.
Tindakan Polis juga dilihat menjadi institusi melindungi jenayah yang dilakukan pemimpin negara.
Penjenayah bermaharajalela dan yang mendedahkan jenayah penjenayah didera.
Saya menuntut Rafizi segera dibebaskan untuk membolehkan beliau menunaikan tanggungjawabnya menghadiri sidang parlimen.
Sepatutnya tiada halangan dilakukan polis untuk Rafizi menghadiri sidang parlimen seperti usul menteri dalam negeri pada 8 Mac 2016.
Di awal permulaan persidangan yang diluluskan Parlimen, usulnya berbunyi:
"Bahawa majlis ini memerintah ketua polis negara menjaga supaya selama penggal Dewan Rakyat yang ada sekarang, jalan-jalan melalui lorong-lorong menuju ke dewan hendaklah sentiasa terbuka dan boleh dilalui dan jangan ada apa apa halangan menghalang ahli ahli hendak pergi dan balik dari dewan ini, jangan berlaku apa apa kacau-bilau di jalan-jalan menuju ke dewan ini, dan supaya jangan ada huru-hara di bangunan dewan ini dan berhampiran dengan bangunan ini, dan setiausaha Dewan Rakyat hendaklah menyampai perintah ini kepada ketua polis negara yang tersebut".
DATUK MAHFUZ OMAR anggota parlimen Pokok Sena.

