'Demokrasi tak turun sendiri dari langit', kata ADUN PKR
ADUN PKR mengingatkan rakyat bagaimana "demokrasi tidak turun dari langit dengan sendirinya".
Bercakap di himpunan nyalaan lilin menyokong Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli malam tadi, ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing berkata beliau ditanya oleh rakan-rakan di Facebook apa lagi yang perlu dilakukan kerana BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih berkuasa walaupun rakyat turun ke jalanan.
Jawapannya, kata Tan, ialah tidak pernah ada demokrasi yang turun dengan sendirinya secara automatik dari langit.
Demokrasi dinikmati hari ini, tambahnya, dicapai dengan usaha meruntuhkan dinding-dinding yang mengelilinginya.
Dan hasilnya akan dinikmati oleh generasi akan datang, tegasnya sambil menambah bahawa dia masih ingat bagaimana 10, 17 tahun yang lalu, demonstrasi bukan satu norma.
Tetapi semalam, kata Tan, ramai yang hadir membawa lilin.
Oleh itu, katanya, beliau meminta rakan-rakannya jangan bersedih dan kecewa kerana mereka yang zalim sebaliknya akan ketawa "jika mereka melihat kita bersedih."
Sambil menyentuh tentang bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan atas tuduhan liwat, Tan berpendapat bahawa Rafizi adalah "Anwar kedua".
"Jadi siapa yang akan menjadi Anwar ketiga?" tanya naib ketua Pemuda PKR itu kepada para hadirin.
200 lilin dinyalakan untuk Rafizi
Rafizi ditahan Selasa lalu di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) selepas mendedahkan dokumen sulit mengenai Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Dia direman selama tiga hari dan kini ditahan di lokap polis Jinjang.
Dalam himpunan tersebut yang diadakan di hadapan lokap polis itu, pemimpin politik dan pemimpin masyarakat sivil, selain daripada membuat ucapan selama lima hingga 10 minit, mengetuai teriakan "Hidup rakyat" dan "bebas Rafizi".
Himpunan itu telah menarik kira-kira 200 penyokong terutamanya dari masyarakat Cina. Ini tidak menghairankan, memandangkan Jinjang adalah kawasan majoriti Cina.
Penyokong membawa lilin yang dinyalakan serta pelekat "bebas Rafizi", sambil mendengar dengan penuh khusyuk ucapan yang disampaikan walaupun mereka semua terpaksa berdiri di sekeliling sebuah pokok besar di luar lokap itu semasa himpunan selama dua jam.
Pemimpin lain yang berucap ialah Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, Koordinator Jingga 13 Fariz Musa, MP Ipoh Timor Thomas Su, ahli jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan dan penyelaras Suaram Amir Abd Hadi.

