Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Nuan Nuan, yang bermaksud ramah mesra dipilih sebagai nama tempatan bagi anak pasangan panda gergasi Xiang Xiang dan Liang Liang yang lahir di Zoo Negara pada 18 Ogos lalu.

Nama itu diumumkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini.

Beliau berkata nama itu dipilih berdasarkan 'Pertandingan Menamakan Anak Panda Gergasi' anjuran kementerian bersama Persatuan Zoologi Malaysia (MZS) dari 17 Nov hingga 17 Disember tahun lepas.

"Proses pemilihan nama bagi anak Panda Gergasi yang kini seberat 16.5 kilogram adalah melalui beberapa sesi pemilihan yang teliti iaitu selama hampir dua hingga tiga bulan oleh juri-juri khas dan profesional yang dilantik.

"Sebanyak sembilan nama telah disenarai pendek yang disahkan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China (CWCA) dan dipersetujui oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Mac lalu," katanya ketika berucap pada Majlis Penamaan Anak Panda Gergasi di Zoo Negara, Hulu Klang.

Pemenang pertandingan menamakan anak panda gergasi itu, Oh Teik Peng, 53, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan, Perak berkata beliau memilih nama Nuan Nuan kerana melihat pada sifat panda gergasi yang peramah dan lebih jinak berbanding jenis beruang lain.

"Saya hanya fokus pada sikap panda gergasi ini dari situ saya buat kajian dan merujuk kamus untuk mendapatkan perkataan yang sesuai bagi menamakan anak panda ini," katanya.

Oh membawa pulang hadiah utama sebuah PERODUA MyVi dalam pertandingan yang melibatkan sebanyak 22,830 penyertaan.

Pasangan panda gergasi yang menjadi simbol hubungan diplomatik 40 tahun antara Malaysia dan China itu tiba di negara ini pada 21 Mei 2014 dan akan berada di sini untuk sedekad menerusi Program Penjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.

Liang Liang melahirkan anak panda betina itu yang mula dipamerkan kepada pengunjung Zoo Negara pada 17 November selepas hampir tiga bulan dikuarantin.

- Bernama

Lihat Komen
ADS