Seramai 29 murid Sekolah Kebangsaan Tiong di Kota Bharu keracunan makanan selepas dipercayai makan di kantin sekolah itu semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Jaafar Ismail berkata mereka telah dihantar untuk menerima rawatan di Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh.

Beliau berkata murid Tahun Lima dan Enam terbabit mendakwa memakan lauk ayam pedas di kantin sekolah ketika waktu rehat.

"Murid yang memakan lauk itu mengadu berasa loya sebelum muntah-muntah dan sakit perut. Mereka dihantar ke klinik berdekatan dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

"Jabatan tidak teragak-agak untuk menamatkan kontrak pengusaha kantin terbabit sekiranya laporan daripada Jabatan Kesihatan membuktikan kecuaian di pengusaha kantin," katanya semasa melawat sekolah itu hari ini.

Jaafar berkata ekoran kejadian itu kantin sekolah ditutup dua minggu untuk siasatan.

Seorang murid Nor Azreen Raziha Rahadi, 12, berkata memakan lauk itu dan berasa loya dan muntah selepas setengah jam kemudian.

Beberapa lagi rakan sekelasnya juga mengadu sakit perut dan mereka dibawa guru mereka ke klinik pada 11 pagi sebelum dijemput pulang keluarga masing-masing, katanya.

- Bernama