Barisan pengurusan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu diberi peluang untuk melaksanakan pelan rasionalisasi yang setakat ini telah mula menampakkan hasil, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Wahid Omar.

Katanya, berdasarkan laporan yang dibentangkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen semalam dapat dilihat nilai aset yang dimiliki syarikat itu melebihi jumlah hutang.

"Pada Januari 2016, nilai aset 1MDB berjumlah RM53 bilion berbanding jumlah hutang RM50 bilion.

"Dengan itu, amat penting kita sokong langkah-langkah yang diambil pihak pengurusan 1MDB dalam merasionalisasikan operasi mereka, termasuk penjualan Edra Global Energy Bhd dan kemasukan pelaburan dalam Bandar Malaysia.

"Kita percaya ia akan dapat mengurangkan beban hutang mereka dan menjadikan 1MDB lebih mampan," katanya.

Wahid mengulas Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB setebal 106 muka surat yang mengandungi rumusan hasil siasatan PAC terhadap isu melibatkan syarikat pelaburan strategik negara itu.

Beliau berkata berdasarkan laporan tersebut, ada dinyatakan memang terdapat kelemahan dari segi urus tadbir syarikat berkenaan.

Bagaimanapun kata Wahid, 1MDB kini dibarisi pengurusan baru yang telahpun melaksanakan proses rasionalisasi yang diyakini dapat memastikan jumlah hutang ditanggung syarikat itu lebih rendah.

"Untuk masa depan, kita semua beri sokongan kepada usaha syarikat 1MDB dan pengurusan mereka untuk melaksanakan program rasionalisasi mereka.

"Untuk pelabur, mereka boleh teruskan melabur dengan 1MDB kerana sukuk yang masih ada ini dijamin oleh kerajaan, kita akan pastikan bahawa 1MDB akan berjaya pada masa depan," katanya.

Wahid ditemui pemberita di majlis pelancaran 1.5 bilion unit tambahan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) yang diuruskan Pelaburan Hartanah Bhd (PHB).

Pelancaran unit tambahan itu dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

- Bernama