Penyiasat di Argentina berkata semalam mereka mahu membuka siasatan terhadap Presiden Mauricio Macri berkaitan dengan data yang bocor dari sebuah firma guaman yang berpangkalan di Panama.

Pendakwa Federico Delgado meminta siasatan dibuat terhadap Macri, yang namanya didakwa muncul sebagai pengarah sebuah syarikat luar pesisir dalam Panama Papers.

Delgado berkata beliau mahu menyiasat Macri atas dakwaan sengaja tidak masukkan maklumat itu dalam borang cukai, demikian menurut satu kenyataan pejabat Delgado.

Seorang hakim perlu membuat keputusan sama ada untuk membenarkan siasatan itu diteruskan.

Seorang anggota pembangkang juga telah memfailkan aduan mengenai perkara itu dengan pihak pendakwa.

Macri berkata, maklumat itu tidak termasuk dalam penyata cukainya kerana beliau bukan seorang pemegang saham syarikat itu.

Data itu - merupakan jutaan dokumen yang dibocorkan oleh seorang pekerja firma guaman dan dikeluarkan kepada orang ramai pada hari Ahad - sudah telah membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri Iceland. Sigmundur David Gunnlaugsson semalam selepas beliau dan isterinya dikaitkan dalam kebocoran data besar-besaran itu. Mereka telah menafikan sebarang salah laku.

Laporan mengenai kebocoran data itu memperincikan bagaimana golongan kaya menyalurkan wang mereka ke syarikat di kawasan perlindungan cukai itu, sekaligus menimbulkan persoalan mengenai kewangan banyak ahli politik, bintang sukan dan selebriti dari kira-kira 80 negara. [Baca berita penuh]

- dpa