Lokman dijangka ke Kamunting
Aktivis Pemuda Parti Keadilan Nasional Lokman Noor Adam yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menjangkakan dihantar untuk tahanan selama dua tahun di kem Kamunting, kata isterinya.
Noor Farahin Ahmad, bersama dua anak mereka, dibenarkan bertemu Lokman kira-kira sejam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur petang semalam. Pertemuan pertama diadakan 8 Mei lalu.
Menurutnya, aktivis reformasi itu "membayangkan akan dibawa ke Kamunting." Lokman, yang kini ditahan 45 hari, kelihatan sihat, tambahnya
Permohonan habeas corpus Lokman bersama seorang lagi pemimpin Keadilan Dr Badrul Amin Bahron, telah ditahan selama 49 hari, didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Jun ini.
Naib Presiden Keadilan Tian Chua, Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor, ahli jawatankuasa pusat Saari Sungib dan penulis malaysiakini Hishamuddin Rais dibawa ke kem tahanan lanjutan itu pada Sabtu lalu selepas disiasat hampir dua bulan sejak 10 April.
Sementara empat lagi dibebaskan, termasuk dua daripadanya atas arahan mahkamah.
Sepuluh aktivis itu ditahan antara 10 dan 26 April lalu atas dakwaan "cuba menggulingkan kerajaan dengan cara-cara militan, termasuk menggunakan pelancar bom dan bahan letupan, serta merancang demonstrasi jalanan."

