Mindef cadang bina pangkalan hadapan lindungi perairan S'wak
Pangkalan operasi hadapan pertama Sarawak yang diubah suai daripada sebuah platform minyak, mungkin dibina di perairan Bintulu bagi meningkatkan keselamatan bandar pesisir pantai itu, yang terkenal dengan industri minyak dan gas berbilion ringgit.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pembinaan pangkalan itu akan menggunakan model pangkalan hadapan Sabah, yang siap dibina dengan kerjasama syarikat minyak gergasi, Petronas.
"Sekiranya ia (pangkalan hadapan) sesuai dilaksanakan di Bintulu dengan bantuan pihak yang terlibat dengan industri minyak dan gas, kami akan dapat memberi respons lebih cepat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Keusahawanan Veteran Tentera peringkat kebangsaan di Miri hari ini.
Sekiranya rancangan itu dilaksana, beliau berkata pangkalan hadapan berkenaan dapat beroperasi sebagai pangkalan pendaratan helikopter, mengendalikan kenderan udara tanpa juruterbang, lebih dikenali sebagai drone, dan menempatkan pasukan petugas khas.
Perkara itu akan dibincang secara terperinci dengan industri minyak dan gas selepas pilihan raya Sarawak ke-11, memandangkan langkah mewujudkan kemudahan sedemikian di laut lepas melibatkan kos agak tinggi, katanya.
Mengenai usaha meningkatan langkah keselamatan di perairan Sabah, Hishammuddin berkata mesyuarat Kabinet semalam bersetuju meningkatkan kawalan keselamatan di pusat peranginan dan hotel berikutan kes culik empat rakyat Malaysia baru-baru ini.
Terdahulu, Hishammuddin mengumumkan Bantuan Bencana Alam - yang sebelum ini hanya diberi untuk rumah milik veteran tentera - kini diperluas kepada mereka yang menyewa atau tinggal di rumah keluarga, dengan jumlah bantuan maksimum sebanyak RM5,000.
"Bagi Bantuan Universiti Awam pula, sebelum ini ia dihadkan kepada anak veteran tentera dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM4,000 sebulan, tetapi sekarang ia dibuka kepada semua dengan syarat pemohon memperoleh keputusan cemerlang," katanya.
- Bernama

