IGP: Polis perlukan masa teliti 106 halaman laporan 1MDB
Ketua Polis Negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan bahawa pihak polis masih meneliti laporan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB setebal 106 muka surat itu yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) minggu lalu.
"Berhubung 1MDB, terdapat 106 muka surat dalam laporan itu... kami memerlukan masa.
"Kami akan membuat kenyataan apabila sudah bersedia," katanya kepada pemberita pada sidang media di Bukit Aman pagi ini selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Beliau berkata demikian ketika disoal mengenai perkembangan siasatan polis terhadap firma pelaburan negara yang sarat hutang itu.
Laporan PAC itu dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 April dan Khalid dalam tweet berkata polis akan menjalankan pemeriksaan terperinci untuk memeriksa jika terdapat sebarang unsur yang mewajarkan siasatan dan tindakan lanjut.
PAC antara lain mengesyorkan pihak berkuasa supaya menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pihak berkaitan dengan pengurusan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.
Selain cadangan dalam laporan PAC itu, Khalid berkata, polis juga sedang menunggu laporan penuh Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dikeluarkan.
Sebelum ini, Khalid berkata, siasatan polis ke atas 1MDB adalah bergantung kepada maklumat di dalam laporan Ketua Audit Negara.
Beliau berkata, walaupun siasatan telah dijalankan, namun, polis tidak boleh membuat kesimpulan sehingga laporan Ketua Audit Negara siap dan diumumkan.

