Perarakan ‘bebaskan Rafizi’, polis arah dua MP beri keterangan
Polis mengarahkan dua ahli parlimen DAP untuk disoal mengenai perarakan bantahan oleh ahli parlimen Pakatan Harapan minggu lalu.
Kedua-dua Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong dan juga Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun memberitahu Malaysiakini bahawa mereka diminta untuk merakamkan kenyataan mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada Khamis ini.
"Pegawai penyiasat beritahu saya mengenai perkara itu pagi ini.
"Beliau kata, polis sedang menyiasat kes itu di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012. Pada masa ini hanya Fong dan saya dipanggil untuk disoal siasat," kata Teo.
Menurutnya, beliau dimaklumkan bahawa lebih ahli-ahli parlimen akan dipanggil untuk siasatan berhubung perarakan dari bangunan Parlimen menuju ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, minggu lalu untuk menuntut pembebasan Rafizi.
"Saya terkejut polis panggil kami. Keadaan tenang pada hari itu. Pihak polis perlu lebih fokus memerangi jenayah.
"Kami meminta Ketua Polis Negara, tan sri Khalid Abu Bakar untuk menghormati kedaulatan Parlimen," katanya.
Teo juga berkata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah mengeluarkan kenyataan bahawa, polis sepatutnya memaklumkan kepadanya sebelum menahan Ahli Parlimen PKR Rafizi Ramli di pintu pagar Parlimen.

