Najib bertanggungjawab terhadap masalah 1MDB - Azizah
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus bertanggungjawab untuk apa jua masalah dan penyelewengan yang timbul dalam 1MDB, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata ini selaras dengan Artikel 117 memorandum dan artikel 1MDB (M & A) yang menyatakan bahawa perdana menteri perlu memberi kelulusan bertulis untuk sebarang urusan 1MDB, katanya.
"Jabatan Audit Negara telah mengesahkan bahawa M & A telah memberikan kuasa mutlak kepada perdana menteri.
"Oleh itu, ia adalah jelas bahawa Najib perlu bertanggungjawab untuk apa jua masalah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang timbul daripada 1MDB," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Petaling Jaya hari ini.
Pakatan pembangkang telah membincangkan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap 1MDB dalam mesyuarat hari ini.
"Setelah meneliti laporan dan hansard PAC (prosiding PAC pada 1MDB), HARAPAN yakin bahawa PAC tidak pernah membincangkan dan tiada keputusan dibuat untuk membersihkan Najib daripada segala kesalahan," katanya.
Beliau menggesa pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bertindak atas bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Halmi dan pihak-pihak lain berdasarkan penemuan laporan PAC.
Beliau juga menggesa pihak berkuasa mengesan AS$7 bilion daripada aliran tunai dan aset 1MDB di luar negara.

