Pemuda PAS Pusat mendakwa Umno mahu menjadikan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebagai kambing hitam dalam kes tangkapan umat Islam di disko Zouk, Jalan Ampang baru-baru ini.

Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, mereka kini berpakat untuk menuding jari kepada tindakan Jawi menyaman umat Islam yang minum arak di disko tersebut.

Katanya, beberapa pemimpin utama Umno jelas terlibat dalam isu ini dan mereka kini sedang mengalih perhatian umat Islam dengan memburuk-burukan Jawi.

Beliau berkata, Naib Ketua Wanita Umno yang juga Menteri Pembangunan Keluarga dan Wanita, Datuk Sharizat Jalil, Ahli Majlis Tertinggi (MT), yang juga Setiausaha Parlimen Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim, Ketua Puteri Umno, Noraini Ahmad dan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Rais Yatim secara terang-terang menhentam Jawi dalam isu tersebut.

"Serangan mereka ke atas Jawi sangat teruk, malah lebih teruk daripada hentaman dalam beberapa isu berkaitan serbuan oleh Jawi ke atas pusat-pusat hiburan sebelum ini.

"Mereka berselindung di sebalik Islam Hadhari yang mereka canang-canangkan di seluruh negara sebelum ini," katanya semasa sidang media di Kuala Lumpur hari ini. Hadir sama ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Mazlan Aliman.

Tindakan tidak bermaruah

Beliau berkata, Islam Hadhari yang menjadi kebanggaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sedikitpun tidak memberi makna kepada umat Islam kerana tidak mampu membendung umatnya melakukan maksiat.

"Pak Lah menggunakan Islam Hadhari untuk mendapatkan sokongan daripada cerdik pandai agama di kalangan agama Islam di negara ini dan bukannya menjadi pemandu kepada mereka," katanya.

Idris berkata, tindakan pemimpin-pemimpin Umno ini sangat tidak bermaruah kerana ia adalah `lampu isyarat' kepada umat Islam yang lain untuk melakukan maksiat pada masa akan datang.

Menurutnya, beliau bimbang kesan daripada tindakan mengarahkan Jawi membatalkan saman tersebut akan menyebabkan tidak ada lagi penguatkuasa agama Islam di negara ini.

"Bagaimana mereka (penguatkuasa) agama mahu bekerja sedangkan Jawi yang diberi kuasa oleh kerajaan juga hentam dan diperlakukan sesuka hati," katanya lagi.

Bagaimanapun, Idris kesal kerana sehingga hari ini Jawi tidak menyatakan sebarang pendirian mereka dalam hal tersebut meskipun ia begitu teruk dikecam oleh pelbagai pihak.

"Pemuda PAS mahu Jawi membuat kenyataan secara terbuka mengapa mereka menarik balik saman tersebut dan bersikap berdiam diri," katanya.

Sementara itu, Idris berkata, Ketua Pemuda PAS di seluruh negeri menghantar memorandum kepada semua pejabat agama Islam di seluruh negara membantah campurtangan politik di dalam urusan penguatkuasa agama islam.

Menurutnya, beberapa Jabatan Agama Islam termasuk Jabatan Agama Islam Johor menerima baik dan mengalu-alukan memorandum yang dihantar oleh Pemuda PAS.

"Selepas itu Pemuda PAS di peringkat negeri akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama negeri bagi meminta mereka bertindak tegas terhadap pesalah umat Islam. Kita tidak mahu apa yang berlaku pada Jawi menimpa mereka," katanya.

Pemuda PAS, kata Idris, juga hairan mengapa Pemuda Umno hanya mendiamkan diri dalam isu tersebut sedangkan mereka begitu ligat dalam beberapa isu lain seperti dadah, kemiskinan dan ketuanan Melayu.