Akta Perlindungan Pemberi Maklumat tak berkesan ke atas OSA
Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 mempunyai kelemahan kerana maklumat yang dilindungi di bawah undang-undang sedia ada tidak boleh didedahkan, kata peguam Syahredzan Johan.
Ini dihuraikan melalui peruntukan di bawah Seksyen 6 akta itu, di mana ia menyatakan seseorang boleh mendedahkan kelakuan tidak wajar dengan syarat “bahawa pendedahan sedemikian tidak dilarang secara khusus oleh mana-mana undang-undang bertulis”, katanya.
"Ini bermakna sekiranya maklumat yang dilindungi atau dilarang daripada pendedahan oleh mana-mana undang-undang bertulis, sebagai contoh Akta Rahsia Rasmi (OSA) didedahkan kepada pihak berkuasa, perlindungan pemberi maklumat tidak akan diberikan kepada orang itu," katanya pada satu forum bertajuk 'Pemberi Maklumat Perlu Dilindungi' di Institut Integriti Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
Apa sahaja maklumat yang boleh didedahkan oleh pemberi maklumat kepada pihak berkuasa, katanya, mestilah sesuatu yang tidak dilindungi di bawah OSA atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain.
Justeru, kata Syahredzan, ini adalah suatu kelemahan, kerana apa sahaja boleh dilindungi di bawah OSA.

