K'jaan kaji potensi tenaga angin jana bekalan elektrik
Kerajaan sedang melihat potensi penggunaan tenaga angin sebagai Tenaga Boleh Baharu (TBB) untuk menjana bekalan tenaga elektrik selain solar, biomas, biogas, mini hidro dan geoterma yang sedia ada.
Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga dan Teknologi Hijau) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Dr Nadzri Yahaya berkata bagi tujuan itu kajian pemetaan potensi angin termasuk perkiraan mewujudkan kadar 'feed-in tariff' (FiT) tenaga itu sedang dijalankan dua pihak.
"Kajian yang kita mulakan setahun lalu itu hampir selesai. Di bawah KeTTHA kajian ini dibuat oleh SEDA (Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia) dengan menggunakan dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE).
"Sementara satu lagi kajian dibuat UMT (Universiti Malaysia Terengganu) menggunakan dana daripada MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sesi Townhall Perbandaran Rendah Karbon bersama Pihak Berkuasa Tempatan Zon Timur di Kuantan hari ini.
Nadzri berkata teknologi kincir angin akan digunakan dalam penghasilan tenaga elektrik dengan mengambil kira tahap kelajuan angin bagi memastikan kincir angin berkenaan berfungsi secara efektif.
Beliau berkata kementerian juga telahpun memberi peruntukan kepada sebuah universiti tempatan membuat kajian mengenai penciptaan kincir angin bersesuaian digunakan dalam situasi kekurangan kelajuan angin.
"Antara kawasan dikenal pasti sesuai untuk projek tenaga angin tersebut dijalankan adalah di kawasan sekitar persisiran pantai di Terengganu dan Sabah," katanya.
Nadzri berkata projek penggunaan tenaga angin itu dapat direalisasikan sekiranya kadar FiT berjaya ditetapkan yang dijangka siap dalam tahun ini. Ia empunyai potensi besar dimajukan seperti tenaga solar.
- Bernama

