Zakir ‘bijak’, tak bermaksud galakkan keganasan - Zahid
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi menolak tanggapan bahawa pendakwah Islam kontroversi Dr Zakir Naik tidak bermaksud untuk menggalakkan keganasan.
“Maklumat yang saya perolehi, beliau tak bermaksud untuk mempromosikan keganasan,”
katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengulas pelbagai dakwaan bahawa warga India itu menggalakkan keganasan semasa kuliah syarahannya.
Bagaimanapun, menurut Zahid, beliau telah memantau ucapan pendakwah itu di negara-negara lain termasuk di India serta alasan dirinya dilarang di United Kingdom.
Mengenai anugerah Tokoh Ma’al Hijrah yang diberikan kepada Zakir oleh Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2013, Zahid berkata ia adalah berdasarkan sumbangannya.
“Cuma beliau dilihat seolah-olah mempertikaikan agama lain (ketika) membuat kajian perbandingan agama,” katanya.
Zahid juga mengesahkan bahawa pihak polis masih memantau pendakwah itu dan pihak penganjur juga diarahkan supaya menukar topik syarahan yang dianggap provokatif.
“Walaupun beliau seorang doktor perubatan, tapi minatnya adalah berdakwah dan mengajar agama Islam. Polis masih memantau.
“Tetapi kami percaya beliau seorang yang bijak. Esok, beliau akan berjumpa saya dan saya akan berbincang dengannya.
Antara lain, Zakir didakwa menyatakan sokongan kepada pengasas al-Qaeda Osama Laden.
Beliau kemudiannya diharamkan daripada memasuki UK, Kanada dan Singapura kerana mengambil pendirian sedemikian.
Zakir, bagaimanapun, pada tahun 2010, dilaporkan berkata bahawa kenyataannya diambil di luar konteks.

