Ahli Parlimen Subang dari PKR, R Sivarasa akan didakwa esok kerana memfitnah Perdana Menteri dengan imej yang dipalsukan daripada muka hadapan majalah Time.

Sivarasa memuat naik muka hadapan palsu itu di Facebook dengan menampilkan perkataan No. 2 on the most corrupt list (No.2 dalam senarai paling rasuah), tetapi memadamkannya selepas dimaklumkan imej itu palsu.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Walaupun muka hadapan majalah yang dimuat naik oleh Sivarasa tidak wujud, Time pada bulan Mac memaparkan Datuk Seri Najib Razak dalam artikelnya mengenai rasuah global.

Malaysia muncul kedua dalam senarai skandal rasuah Time , selepas Brazil, dan sebelum Afrika Selatan, China dan Rusia.

Senarai itu tidak kelihatan mengikut urutan tertentu, tetapi sebaliknya memberikan contoh bagaimana skandal rasuah di setiap negara.

Bagaimanapun, penerangan artikel mengenai Malaysia masih tidak menyenangkan, berbanding dengan negara-negara lain dalam senarai.

Ia memfokuskan kepada skandal 1MDB, dan isu-isu sekitar derma RM2.6 bilion yang dikatakan masuk ke akaun bank peribadi Najib.

Najib menafikan beliau menyalahgunakan dana awam, manakala peguam pegara telah membersihkannya daripada sebarang salah laku.