'Diperdaya' Adenan, SUPP pertahan kerusi miliknya
Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mungkin terpaksa 'melepaskan' kerusi kepada parti serpihannya Parti Rakyat Bersatu (UPP), tetapi Presiden Dr Sim Kui Hian menegaskan ia masih milik SUPP.
Sim berkata SUPP, yang berbilang kaum dan agama, berasa "diperdaya" dengan peruntukan hanya satu dan bukan dua kerusi baru di kawasan majoriti bumiputera, di sebalik janji Pengerusi BN negeri Tan Sri Adenan Satem.
SUPP melobi untuk bertanding semula di Pelawan dalam pilihan raya Sarawak akan datang tetapi hilang kerusi itu kepada UPP apabila Adenan mengumumkan dalam satu sidang akhbar di Sibu bahawa calon BN bagi Pelawan adalah Janet Lau dari UPP.
Turut hadir pada sidang akhbar dengan Adenan ialah Presiden UPP Dr Wong Soon Koh dan Presiden Rakyat Sarawak Parti Tenaga (Teras) William Mawan.
Lau adalah balu kepada mendiang Robert Lau, yang juga bekas ahli parlimen SUPP Sibu.
UPP juga diberikan kerusi Bawang Assan, Dudong, Pujut, Opar, Mambong, dan Engkilili, dan turut mengintai untuk merampas kerusi Meradong. Calon-calon UPP dijangka meletakkan jawatan dari parti mereka untuk bertanding sebagai calon langsung BN.
Bagaimanapun, Sim menegaskan bahawa jika mereka menang, mereka mesti menyertai SUPP kerana kerusi tersebut milik parti itu.
Adenan setakat ini hanya memperuntukkan 12 kerusi SUPP untuk bertanding pada pilihan raya Sarawak yang akan datang pada 7 Mei berbanding 19 pada pilihan raya lalu.

