Kamu suka atau benci saya, soal Arul Kanda kepada Pua
Sejak mengambil alih pucuk pimpinan 1MDB Januari lalu, Arul Kanda menjadi sasaran bidasan berterusan dan dilemparkan dengan pelbagai tuduhan daripada pelbagai pihak, khususnya dari pembangkang dan daripada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.
Walau bagaimanapun, tokoh perbankan yang dibawa dari Asia Barat dengan tugas khas bagi mengubah nasib firma pelaburan negara yang bermasalah ini, percaya bahawa pemimpin DAP itu DAP keliru tentang perasaannya terhadap beliau.
"Pagi Khamis lalu, beliau mengatakan saya patut meletak jawatan daripada 1MDB. Pada malam hari yang sama, beliau mengajak saya berdebat.
"Jelas bahawa Pua adalah keliru dan bercanggah dengan dirinya sendiri. Beliau tidak tahu jika dirinya menyukai atau membenci saya," katanya dalam satu kenyataan media.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB itu mengulas cabaran Pua semalam untuk bersemuka secara langsung dengannya yang telah disambut oleh Arul Kanda.
"YB Tony berkata anda 'boleh jatuh cinta' dengan saya, tetapi kemudian menggelar saya penipu dan meremehkan pencapaian saya.
“Semua ini dilakukannya walaupun ramai dalam DAP termasuk YB Tony sendiri, mendakwa saya penipu dan kata-kata saya tidak layak dipercayai.
"Jadi mengapa mahu berdebat, sedangkan anda tidak mahu mendengar, atau mempercayai apa-apa yang saya katakan?" soalnya.
Minggu lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) membentangkan laporannya mengenai siasatan 1MDB kepada Parlimen.
Di sebalik keperluan persetujuan sebulat suara sebelum laporan itu dibentangkan, Pua yang juga adalah anggota PAC berkata, beliau hanya 80 peratus berpuas hati dengan hasilnya.
Rabu lalu, Pua menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat Arul Kanda kerana didakwa cuba menutup penipuan 1MDB-IPIC-Aabar.
Walaupun bersetuju bahawa pemindahan berjumlah AS$3.51 bilion kepada Aabar Investment PJS yang diperbadankan di British Virgin Islands (Aabar BVI) berlaku sebelum Arul Kanda mengambil alih jawatan pada bulan Januari 2015, beliau mendakwa presiden dan ketua pegawai eksekutif 1MDB itu menyedari sepenuhnya bahawa ia adalah syarikat palsu.
Arul Kanda bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan menggesa Pua untuk membekalkan butirannya.

