Keadaan kesihatan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din semakin stabil tetapi masih menerima rawatan di Unit Rawatan Koronari (CCU) Institut Jantung negara (IJN).

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Haron kini sudah boleh berjalan dan berinteraksi bagaimanapun beliau masih lagi dalam pemantauan doktor.

“Dari segi kesihatan alhamdulillah, makin baik tapi masih di CCU. Dia dah boleh bergerak, makan dan berjalan, dia juga dah boleh berinteraksi.

“Dia masih dalam pemerhatian doktor. Buat masa sekarang doktor tak bagi ramai-ramai datang melawat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Minggu lalu Haron dimasukkan ke IJN selepas mengadu mengalami sakit dada.

Beliau sebelum ini pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Stanford, San Francisco Amerika Syarikat pada 2 April 2012.

Hanipa masih di ICU

Manakala anggota Parlimen Sepang Hanipa Maidin juga menunjukkan perkembangan yang semakin positif tetapi masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.

Pembantunya Abdul Halim Muhammad Sharif berkata, Hanipa ( gambar ) kini sudah boleh bergerak, melakukan senaman ringan dan bercakap.

“Perkembangan positif, sekarang dia dah boleh bergerak, duduk di kerusi dan buat senaman setiap hari.

“Dia sudah boleh respon kalau nampak orang, cuma doktor mengehadkan dia sebab dia perlukan rehat yang banyak,” katanya.

Sebelum ini Hanipa dikejarkan ke IJN selepas disedari pengsan secara tiba-tiba di tempat duduk beliau di Dewan Rakyat, dan kemudiannya dipindahkan ke wad kecemasan HKL.