Polis: Siasatan kes tidak bayar gaji sudah siap
Pihak polis telahpun selesai menyiasat aduan sekumpulan pekerja tanpa izin Indonesia yang mendakwa majikan mereka tidak membayar gaji mereka berjumlah RM150,000.
Pihak polis telahpun selesai menyiasat aduan sekumpulan pekerja tanpa izin Indonesia yang mendakwa majikan mereka tidak membayar gaji mereka berjumlah RM150,000.
Ketika ditemui hari ini, ketua bahagian jenayah komersial polis daerah Petaling Jaya, ASP Mohd Ali mengesahkannya dan berkata semua pihak terbabit sudah disoalsiasat.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butir-butir lanjut berhubung siasatan tersebut.
"Kesimpulan (kes ini) sudah dibuat tetapi saya tidak boleh mendedahkan butir-butirnya. Siapa tiada berkuasa berbuat demikian. Ianya rahsia. Kami akan menyerahkan hasil siasatan itu kepada pihak atasan untuk memutuskannya," katanya.
Seramai 90 pekerja tanpa izin Indonesia mendakwa mereka tidak dibayar gaji oleh subkontraktor Sri Mega Sdn Bhd selepas empat bulan bekerja di projek Medan Prestasi di Damansara Damai, Selangor.
Kontraktor utama projek tersebut, Plato Construction (M) Sdn Bhd milik MK Land Holdings.
Pekerja terbabit juga telah menghantar surat kepada MK Land Holdings, yang Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar supaya menyiasat perkara tersebut.
Bagaimanapun, MK Land telah menafikan pihaknya mengambil sebarang pekerja tanpa izin, dengan menegaskan bahawa pihaknya tidak menggaji secara langsung pekerja pembinaan dan oleh itu, tidak timbul isu mereka tidak dibayar gaji.
Pada 8 Februari lalu, kumpulan sokongan pekerja tempatan, Labour Resource Centre (LRC), telah membuat laporan polis terhadap Mustafa atas dakwaan mengupah dan tidak membayar gaji kepada pekerja tanpa izin.
Nasihat, bukan amaran
Jumaat lalu, para pekerja terbabit juga telah membuat laporan polis terhadap Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr Fong Chan Onn berdasarkan kepada kenyataannya bahawa Sri Mega Jaya telah membayar gaji pekerja, yang menurutnya berjumlah RM500,000, melalui orang tengah yang telah menghilangkan diri.
Ketua kumpulan pekerja terbabit, Lukman, yang membuat laporan polis itu, juga mendakwa ASP Mohd Ali, tanpa memberi sebarang sebab, telah memberi amaran yang dia akan "dihukum".
Pendatang Indonesia itu juga mendakwa pegawai polis tersebut telah berkata bahawa tiada keperluan untuk menyiasat kehilangan orang tengah terbabit.
ASP Mohd Ali bagaimanapun, menafitkan yang beliau telah memberi 'amaran' terhadap Lukman.
"Ianya bukan amaran. Saya hanya menasihatkannya, adalah lebih baik mendapatkan dokumen yang sempurna untuk bekerja di Malaysia.
"Saya rasa itu nasihat yang baik untuknya. Mungkin dia ingat saya memberi amaran kepadanya. Ops Nasihat sedang berjalan. Saya memberinya nasihat. Saya menerima arahan daripada kerajaan. Ianya tidak salah," tambahnya.
'Ops Nasihat' dilancarkan selepas tempoh pengampunan bagi pekerja asing tanpa izin dilanjutkan.
Kakitangan penguatkuasa diarahkan supaya menasihatkan pekerja asing tanpa izin supaya pulang ke negara masing-masing sebelum gerakan memburu mereka dilancarkan.

