Pesanan 'orang tua' DAP pada KM Sarawak
Menyedari bahawa kedua-dua mereka adalah warga emas dan hayat politik masing-masing sudah berada di penghujung, pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang merayu kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem untuk berganding bahu bagi memastikan bahawa pilihan raya negeri akan datang benar-benar bebas, adil dan demokratik.
"Saya telah kata bahawa kedua-dua Adenan dan saya sudah berusia - dia berumur 72 tahun dan saya pula 75.
"Kita tidak lagi mempunyai banyak masa untuk berpolitik secara aktif," kata Lim dalam satu kenyataan.
Memandangkan kedua-dua mereka pada umur senja, Lim mahu Adenan melakukan sesuatu yang berfaedah dan mulia untuk generasi akan datang dan bukannya berjuang untuk menjaga orang lain yang juga telah melepasi waktunya tetapi berdegil untuk terus berkuasa.
"Marilah kita berbuat sesuatu yang berfaedah pada senja kehidupan ini seperti menyuburkan demokrasi, eratkan perpaduan negara dan hak rakyat Sarawak mendapatkan autonomi daripada menyalahgunakan kuasa untuk keberlangsungan sebuah parti politik yang sudah di penghujung hayatnya.
"Jadikan pilihan raya umum Sarawak ke-11 bersih, bebas, adil dan demokratik," kata Lim yang juga adalah Ahli Parlimen Gelang Patah.
Lim berkata beliau tidak ada masalah sekiranya Adenan menerajui kemenangan bagi BN Sarawak pada pilihan raya akan datang asalkan ia melalui cara bersih, bebas dan demokratik serta adil yang boleh menjadi kebanggaan Malaysia dan dunia.
"Tidak ada seorang pun, sama ada di Sarawak atau Malaysia, yang ragu-ragu bahawa Adenan akan terus menjadi Ketua Menteri Sarawak selepas pilihan raya negeri Sarawak ke-11," katanya,
Lim berkata tiada siapa yang akan berani untuk mengatakan bahawa BN Sarawak akan dinafikan daripada membentuk kerajaan negeri Sarawak akan datang ataupun dikalahkan.
Walau bagaimanapun, hujahnya, adalah lebih baik jika pilihan raya negeri itu bersih, bebas dan adil, kerana ia bukan hanya akan mengukuhkan pemerintahan BN tetapi juga integriti dan legasi Adenan.

