Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Johor peruntuk RM40j perluas skim sewa beli rumah
Diterbitkan:  Apr 16, 2016 6:38 AM
Dikemaskini: 10:49 PM

Kerajaan Johor akan memperuntukkan antara RM30 juta dan RM40 juta bagi membeli rumah kos rendah dan sederhana rendah dalam usaha memperluaskan skim sewa beli untuk rakyat negeri berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata menerusi peruntukan itu, kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk membeli rumah yang sudah siap dibina oleh pemaju di negeri itu.

"Tawaran skim sewa beli ini hanya melibatkan rumah yang kerajaan negeri beri sewa dan tertakluk kepada rumah kos rendah dan sederhana rendah tidak melebihi RM80,000 seunit," katanya kepada pemberita di Johor Bahru semalam.

Beliau berkata dengan memperluaskan skim itu bakal memberi peluang kepada rakyat negeri ini memiliki kediaman sendiri kerana agenda perumahan adalah antara agenda utama kerajaan negeri untuk rakyat.

Mohamed Khaled berkata setakat ini sebanyak 2,500 unit rumah ditawarkan di bawah skim itu, antaranya melibatkan 96 unit rumah di Perumahan Rakyat EDL, 44 unit di Kangkar Pulai dan 1,502 unit di Taman Cendana di daerah Johor Bahru.

Sebelum ini, kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 5,000 unit rumah ditawarkan menerusi skim itu menjelang 2018.

Terdahulu, Mohamed Khaled melancarkan skim itu bagi penghuni rumah Pangsa Bandar Seri Alam Jalan Tasek 64 dekat Johor Bahru, melibatkan 240 unit rumah dengan kadar bayaran RM234 sebulan untuk 20 tahun.

Mengulas berhubung cadangan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mengenai penubuhan 'Bank of Johor', Mohamed Khaled berkata cadangan itu disambut baik kerajaan negeri.

Bagaimanapun, ia perlu melalui kajian yang terperinci termasuk meneliti syarat-syarat tertentu berkenaan penubuhan bank tersebut, katanya.

Pada perasmian pembukaan penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor ke-13 di Bangunan Sultan Ibrahim semalam, Sultan Ibrahim mencadangkan agar kerajaan negeri menubuhkan bank sendiri bagi memudahkan rakyat membuat pinjaman perumahan.

Bank yang dinamakan sebagai 'Bank of Johor', diharap dapat memberi pembiayaan terhadap projek pembangunan selain membolehkan rakyat membuat simpanan tabungan dan pelaburan.

Baginda bertitah cadangan itu berikutan ramai rakyat di negeri ini masih tidak dapat memiliki kediaman masing-masing kerana kegagalan mendapatkan pinjaman bank.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS