Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DASH, SUKE: S'gor digesa kaji semula ambil hutan simpan kekal
Diterbitkan:  Apr 16, 2016 6:57 AM
Dikemaskini: 11:06 PM

Kerajaan Selangor digesa mengkaji semula cadangan pengambilan tanah daripada hutan simpan kekal di negeri itu bagi tujuan pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE).

Pengerusi Parti Gerakan Selangor, David Ang Chin Tat berkata Hutan Simpan Bukit Cherakah, Hutan Simpan Bukit Sungai Buloh dan Hutan Simpan Bukit Sungai Puteh adalah kawasan tadahan hujan yang memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan air di negeri ini mencukupi.

"Jadi tindakan kerajaan negeri menggunakan tanah dari hutan-hutan simpan ini bagi membina lebuh raya itu adalah amat tidak wajar dan dibimbangi akan membawa kesan buruk terhadap bekalan air," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan mengenai perkara berkenaan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Pegawai Berita Pejabat Menteri Besar Selangor, Shahril Said di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam semalam.

Dalam notis penyiasatan awam dikeluarkan pada 16 Mac lepas, kerajaan negeri bercadang mengambil kira-kira 3.2 hektar tanah bagi pembinaan DASH dan kira-kira 29.6 hektar tanah untuk pembinaan SUKE, dari hutan simpan kekal berkenaan.

"Kami mahu kerajaan negeri melantik badan bebas untuk melakukan Kajian Kesan Alam Sekitar bagi pembinaan kedua-dua lebuh raya berkenaan dan mahu laporan akhir kajian berkenaan didedahkan kepada rakyat," katanya.

Pada awal bulan ini, kira-kira 20 kumpulan daripada parti politik dan badan bukan kerajaan berhimpun di hadapan pintu masuk bangunan SUK bagi menuntut kerajaan negeri membatalkan sebarang rancangan untuk membina lebuh raya baru.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS