Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak menyokong mana-mana pihak sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahupun bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya sebagai ahli Umno, pendiriannya lebih berpihak kepada parti selagi perkara yang diputuskan parti berkenaan tidak bertentangan dengan undang-undang yang ditetapkan.
"Saya tidak sokong sesiapa. Saya ahli Umno dan bersama parti saya. Kalau orang itu bukan lagi bersama parti, macam mana saya nak bersama walaupun ada persamaan pemikiran," katanya dalam laporan Sinar Harian .
"Saya perlu pertimbangkan apa yang Umno putuskan. Sekiranya Umno putuskan perkara bertentangan undang-undang, tak boleh ikut kerana sebagai ahli Parlimen, saya bersumpah mempertahankan perlembagaan negara. Yang tidak benar, saya tidak boleh sokong," lapor Sinar Harian lagi.
Beliau ketika ditanya mengenai keupayaan Mahathir meraih sokongan rakyat, Tengku Razaleigh berkata bekas pemimpin itu mungkin boleh meneruskan perjalanan politik sekiranya ada pengaruh dan sokongan orang ramai.
"Kalau ikut perlembagaan, perdana menteri hanya boleh dilucutkan jawatan dengan kuasa ahli Parlimen. Sekiranya ada yang berjaya pujuk dan majoriti tidak mahu (Datuk Seri) Najib, ia boleh dilakukan dengan mengundi usul yang dibawa di Dewan Rakyat.
"Maka Yang di-Pertuan Agong terpaksa bertindak menukar perdana menteri atau kerajaan. Bagaimanapun, langkah paling baik tunggu pilihan raya," beliau dilaporkan sebagai berkata.
Tengku Razaleigh yang mesra dengan panggilan Ku Li ketika diminta mengulas mengenai 1MDB, menjelaskan beliau kekal berpendirian dengan berpegang kepada kebenaran setelah laporan Ketua Audit Negara siap sepenuhnya.
"Ahli Parlimen dan orang ramai desak agar laporan itu dibentangkan di Parlimen. Kita tengoklah nanti. Namun, pendirian saya jelas di mana apabila laporan siap, kita akan pertimbangkan.
"Ia soal benar atau tidak dan saya hanya berpegang kepada kebenaran. Sekarang, kita tak tahu lagi apa laporannya kerana masih dirahsiakan menerusi Akta Rahsia Rasmi," beliau dilaporkan sebagai berkata.
