PAS: Khir Toyo mesti bertanggungjawab kerosakan Bkt Cahaya
Pemuda PAS (DPP) mahu Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, selaku Menteri Besar Selangor, bertanggungjawab terhadap masalah pembangunan dan ketidakseimbangan ekologi di Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam, Shah Alam akibat pembangunan yang tidak dikawal.
Timbalannya, Haji Idris Ahmad berkata, keadaan itu memberi gambaran sebenar tentang kelemahan dan penyelewengan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Dr Mohd Khir.
"DPP tertarik dengan komen yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang begitu jelas mempersalahkan Mohd Khir Toyo yang gagal menjalankan tugas dengan berkesan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dua hari lalu, Perdana Menteri melahirkan rasa amat kecewa dengan kerakusan pembangunan tanah di sempadan taman pertanian itu, lalu mengarahkan kerajaan Selangor mengambil tindakan segera sebelum berlaku kerosakan lebih besar lagi.
Beliau membangkitkan perkara itu dalam mesyurat mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno sambil mencari-cari Dr Mohd Khir bagi mendapatkan penjelasan mengenainya tetapi Menteri Besar Selangor itu tidak ada kerana berada di Switzerland dan Amerika Syarikat untuk satu misi perdagangan.
Menurut laporan akhbar, Taman Pertanian seluas 800 hektar (2,000 ekar) kendalian Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu, hampir menjadi pulau kerana rata-rata sempadannya sedang dibangunkan sebagai kawasan penempatan manusia.
Taman tersebut yang telah diluluskan oleh Kabinet untuk dijadikan Taman Botani Negara, taman agro-perhutanan terbesar di dunia menjelang 2007, kini menghadapi kesan alam sekitar yang dahsyat.
Bukit digondolkan
Menurut laporan itu lagi, sebuah kawasan baru seluas 1,200 hektar di Seksyen U10 bersempadan utara taman pertanian itu telah dipecah-pecahkan kepada 35 pemaju. Sementara di sebelah selatan pula kawasan seluas kira-kira 200 hektar diberi kepada sebuah syarikat pemaju (Bukit Bandaraya).
Akibat pembangunan inilah, siasatan mendapati berlaku kemusnahan ekosistem yang teruk di dalam taman itu, selain pokok ditebang dan bukit digondolkan sewenang-wenangnya.
Berikutan itu, timbul persoalan mengapa kerajaan negeri tidak sedar mengenainya sedangkan kawasan-kawasan projek itu terletak kurang 10 kilometer daripada Pejabat Menteri Besar.
Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Idris berkata: "Dr Mohd Khir sepatutnya berasa malu dan mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatannya sebagai menteri besar kerana kelemahan tersebut."
Berikutan itu, katanya, kelemahan pentadbiran Dr Mohd Khir kini bukan lagi satu beban kepada rakyat Selangor, "tetapi turut menjadi beban kepada kerajaan pusat".
"Dr Mohd Khir selama ini sering kali mendakwa kerajaan BN akan membawa Selangor menjadi negeri maju pada akhir tahun ini, tetapi ternyata tidak menggambarkan keadaan yang sebenar.
"DPP merasa bahawa tarikh pengisytiharan Selangor sebagai negeri maju pada akhir Ogos ini patut ditangguhkan dengan kelemahan pentadbiran ini," tambahnya.
Status negeri maju
Idris mendakwa, ini bukan pertama kali berlaku kelemahan dan kepincangan dalam pentadbiran kerajaan Selangor semenjak Dr Mohd Khir mengambil alih pentadbiran kerajaan pada 1999.
Menurutnya, sebelum ini Dr Mohd Khir didakwa terlibat dengan rasuah dan salahguna kuasa, diikuti oleh isu pembukaan tanah secara haram oleh pendatang asing di Gombak, isu kegagalan PUAS menyediakan bekalan air bersih dan kes kecurian pasir.
"Ini menggambarkan bahawa Selangor masih berada di paras negeri mundur yang tidak layak digelar negeri maju," katanya.
Idris mendakwa isu pembangunan tidak terkawal di Taman Pertanian itu jelas menunjukkan bahawa Barisan Nasional (BN) gagal mentadbir kerajaan Selangor secara berkesan untuk menjadikannya sebuah negeri maju.
"Apa yang berlaku di Taman Pertanian ini seolah-olah menggambarkan kerajaan Selangor tidak mengetahui dan tidak memantau proses pembangunan yang berlaku.
"Lebih teruk lagi, bagaimanakah kerajaan boleh meluluskan projek pembangunan yang begitu besar di sekitar kawasan tersebut, sedangkan ia merupakan sebuah kawasan yang perlu dilindungi ekologinya," tambahnya.