Americk akan terus wakili balu PI Bala
Peguam Americk Sidhu akan terus mewakili A Santamil Selvi - balu bekas penyiasat persendirian P Balasubramaniam - dalam kes samannya terhadap ahli perniagaan permaidani Deepak Jaikishan.
Americk memaklumkan perkara itu kepada Mahkamah Persekutuan hari ini.
Dengan ini, Americk memberitahu mahkamah bahawa beliau menarik balik permohonannya untuk menarik diri daripada kes tersebut.
Mahkamah tertinggi itu kemudiannya menetapkan 26 April untuk mendengar permohonan kebenaran berasingan oleh peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang muncul untuk Deepak dan Santamil Selvi.
Deepak merayu supaya kes itu didengar berdasarkan merit seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan, di Mahkamah Tinggi.
Santamil Selvi memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.
Santamil Selvi dan anak-anaknya telah memfailkan saman RM2 juta terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor serta enam orang lain, termasuk Deepak, berikutan keluarganya hidup di luar negara selama lima tahun selepas Balasubramaniam membuat akuan berkanun yang pertama.

