Pelajar tahun akhir jurusan komunikasi yang sebelum ini telah disoalsiasat oleh jawatankuasa disiplin Universiti Sains Malaysia (USM) kerana menulis dalam Harakah telah dinasihatkan oleh Jabatan Keselamatan USM supaya 'tidak terlalu kasar' ketika menulis surat kepada naib canselor universiti tersebut.

Ali Bukhari telah menghantar sepucuk surat kepada naib canselor meminta beliau mengeluarkan surat mengesahkan bahawa "tuduhan-tuduhan" terhadapnya kerana tulisannya disiarkan dalam lidah rasmi PAS, Harakah dan Berita Kampus, telah digugurkan.

Dia juga menghantar salinan surat tersebut kepada timbalan naib canselor bahagian Akademik, Pembangunan dan Hal-Ehwal Pelajar.

Jawatankuasa disiplin telah memanggilkannya bulan lalu berhubung perkara tersebut di mana Ali Bukhari telah dimaklumkan secara lisan bahawa 'tuduhan' terhadapnya telah digugurkan.

Semalam, sewaktu perbincangan tersebut yang diketuai oleh Ketua Bahagian Keselamatan USM, Noor Rizan Khalid, pelajar tahun akhir itu diberitahu bahawa perkataan "dakwaan" dalam suratnya itu "terlalu keras".

Ali Bukhari telah menulis: "Menurut dakwaan Pengarah Jabatan Keselamatan, kes yang lalu telah gugur".

Penjelasan bertulis

"Mungkin perkataan itu terlalu keras dan saya telah memohon maaf kepada Encik Noor Rizan sewaktu perbincangan tersebut," kata Ali Bukhari kepada malaysiakini.

Bagaimanapun, dia belum dimaklumkan mengenai kedudukan siasatan berhubung kandungan lamanweb peribadinya dan peranannya dalam penubuhan sebuah kumpulan penulis.

Dia telah diberitahu supaya mengemukakan penjelasan bertulis mengapa dan bila dia mewujudkan lamanweb tersebut. Dia juga turut disoal mengenai bayaran yang diterimanya bagi tulisannya dalam pelbagai penerbitan.

Ini berdasarkan kepada salinan imbasan dua keping cek yang disiarkan dalam lamanwebnya RM150 daripada Utusan Malaysia dan RM40 daripada Persatuan Pengguna Pulau Pinang.