160 pekerja Cycle and Carriage dibuang kerja
Seramai 160 pekerja Syarikat Cycle and Carriage (CC) Bintang Berhad di Petaling Jaya dibuang kerja secara berperingkat mulai 1 Februari lalu sehingga 31 Julai depan.
Seramai 160 pekerja Syarikat Cycle and Carriage (CC) Bintang Berhad di Petaling Jaya dibuang kerja secara berperingkat mulai 1 Februari lalu sehingga 31 Julai depan.
Pengurusan syarikat telah menghantar notis pemberitahuan mengenai pemberhentian tersebut kepada pekerja terbabit mulai pertengahan bulan Januari lalu.
Kesemua mereka yang terbabit adalah pekerja bahagian pemasangan kereta Mercedes Benz dan mereka adalah ahli Kesatuan Sekerja Alat-alat Ganti Kenderaan dan Sekutu.
Presiden kesatuan itu, Muda Ismail berkata, pekerja eksekutif bagaimanapun tidak terlibat dengan pembuangan pekerja.
Pengarah Urusan CC, Steven Foster dalam suratnya kepada kesatuan itu berkata, faktor utama yang membawa kepada pembuangan pekerja tersebut ialah penamatan kontrak pemasangan kereta Mercedez Benz.
Muda berkata, kontrak pemasangan Mercedez kini diperolehi oleh DRB Hicom Berhad dan syarikat tersebut memutuskan untuk memindahkan operasinya ke Pekan, Pahang.
Tarik balik pegangan
DRB pula, katanya, tidak menawarkan kepada mereka untuk bekerja sebagai pemasang di Pekan.
Syarikat Daimler Crysler yang memegang saham utama dalam Cycle and Carriage telah menarik balik pegangan mereka dalam syarikat tersebut, katanya.
"Bagaimanapun, yang menjadi tandatanya ialah mengapa Cycle and Carriage hanya membuang pekerja yang menganggotai Kesatuan Sekerja Alat-alat Ganti Kenderaan dan Sekutu sedangkan para eksekutif tidak terlibat?
"Satu lagi ialah pengurusan telah didapati membayar pampasan yang tidak menuruti perjanjian bersama (CA) yang dibuat antara kedua-dua pihak," katanya.
Muda berkata, kesatuan telah menemui pengurusan CC untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pampasan tetapi mereka tetap dengan keputusannya.
Berikutan itu, kesatuan membawa perkara tersebut ke pengetahuan Kementerian Sumber Manusia untuk tindakan lanjut.
Pekerja berpiket
Pekerja tersebut juga mengadakan piket di hadapan pejabat mereka di Petaling Jaya pada petang tadi.
Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Alat-alat Ganti Kenderaan dan Sekutu, N. Gopalkrishnan yang mengetuai rundingan dengan CC berkata, syarikat tersebut telah tidak mengikut perjanjian bersama yang dibuat kedua-dua pihak.
"Kami mendapat laporan Daimler memberi bayaran RM10 juta kepada CC tetapi pengurusan kata hanya menerima RM1.5 juta. Kita minta penjelasan tetapi mereka tidak beri.
"CC memberitahu kesatuan tentang penamatan operasi dan menawarkan rundingan dalam tempoh sebulan tetapi dalam masa dua minggu, mereka mengeluarkan surat pemberhentian kepada pekerja. Cara ini salah dalam Akta Pekerjaan 1959," katanya.
Beliau berkata, CC juga tidak membayar gaji dalam tempoh notis sebulan pemberhentian kerja dikeluarkan kepada pekerja-pekerjanya.
Menurutnya, jika masalah ini berterusan pihaknya akan membawa CC ke Mahkamah Perindustrian untuk mendapat keadilan.

