Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menafikan mereka pernah menghantar sebarang tulisan untuk diterbitkan dalam majalah kontroversi Varsiti 2001 .

"Sama ada pihak Gamis atau PMIUM, kami tidak pernah menghantar apa-apa bahan untuk terbitan Varsiti 2001 ," kata Presiden PMIUM Muhammad Faisal Abdul Rahman kepada malaysiakini petang tadi.

"Pengunaan nama (dua) persatuan (itu) dan penulis dalam majalah itu adalah rekaan saja. Jika ada bahan atau rencana yang pernah dikeluarkan oleh pihak kami, kami tidak pernah memberikannya untuk terbitan majalah itu" katanya lagi, yang juga Setiausaha Agung Gamis.

Dalam Varsiti 2001 yang didakwa diterbitkan secara palsu, beberapa rencana mengunakan nama pemimpin-pemimpin pelajar sebagai penulis dan kenyataan-kenyataan dua pertubuhan itu, sebahagiannya pernah diterbitkan dalam beberapa media.

Majalah tahunan itu sebelum ini diterbitkan dengan kebenaran pentadbiran universiti dan dikendalikan oleh Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).

Apabila ditanya lebih lanjut tentang majalah itu, Muhammad Faisal enggan mengulas dan berkata beliau menyerahkan perkara ini kepada polis.

Aktivis pelajar itu membuat aduan di balai polis Brickfields, Kuala Lumpur dua hari lalu selepas menerima naskhah majalah berkenaan.

Menurut laporan akhbar, mereka yang memiliki Varsiti 2001 menerima naskhah masing-masing melalui pos. Semalam, malaysiakini menafikan pernah memberikan kebenaran kepada pelajar atau persatuan di Universiti Malaya untuk menerbitkan semula berita akhbar web itu.

Pengerusi Biro Penerbitan dan Penerangan MPMUM, Ahmad Tarmizi Abdul Aziz yang mengetuai sidang redaksi majalah itu dilaporkan berkata pihaknya masih dalam proses mengumpul bahan dan majalah itu dijangka diterbitkan November depan.

Sementara itu Sekretariat Pelajar Persatuan Ulama Malaysia (SPPUM) pula mendakwa pengedar Varsiti 2001 menggunakan alamat pejabat persatuan ulama sebagai alamat pengirim. Pengirim itu juga menghantar naskhah majalah itu kepada Yang Dipertua persatuan itu, Abdul Ghani Shamsuddin.

"SPPUM menyelar tindakan tersebut dan mencabar pihak terbabit tampil ke hadapan secara profesional untuk menyatakan identiti," kata Setiausaha Agung SPPUM, Mohd Roslan Mohd Nor.

Senarai syarikat anak PM

Varsiti 2001 memuatkan 15 foto Perdana Menteri dengan pelbagai aksi, termasuk yang telah diubah suai dengan imej buruk, dan menggelarkannya 'mahafiraun' seperti sering diterbitkan dalam beberapa laman web proreformasi.

Kebanyakan foto berkualiti rendah seperti dicetak semula daripada bahan-bahan penerbitan lain.

Majalah itu juga menyifatkan Timbalan Perdana Menteri sebagai "si lembik (yang) pekak badak" apabila polis menahan 10 aktivis pembangkang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak 10 April lalu.

Poster kempen anti-ISA yang menunjukkan sembilan (waktu itu) aktivis reformasi yang ditangkap turut dimuatkan.

Selain dua pemimpin tertinggi negara, majalah itu pada halaman 62 turut menggambarkan beberapa menteri seperti Datuk Seri Rafidah Aziz, Datuk S Samy Vellu, Datuk Hishammuddin Hussein, Tun Daim Zainuddin dan Datuk Aziz Samsuddin dengan pakaian tradisi raja Mesir purba, Firaun.

Varsiti 2001 itu juga menerbitkan senarai syarikat-syarikat yang didakwa dikuasai oleh tiga anak Perdana Menteri dan Pengerusi Renong Datuk Halim Saad dengan jumlah saham dan kekayaan masing-masing.

Selain itu, foto-foto pemimpin kanan pembangkang turut diterbitkan. Foto yang kerap diterbitkan adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain Presiden PAS Datuk Fadzil Noor, timbalannya Abdul Hadi Awang dan Ketua Pemuda Mahfuz Omar.

Kira-kira 20 foto yang disiarkan mengenai demonstrasi, termasuk perhimpunan reformasi di ibu kota sejak 1998.

Majalah setebal 92 halaman, termasuk empat muka surat berwarna, menyiarkan pandangan, berita dan kegiatan PMIUM dan Gamis yang telah diterbitkan dalam beberapa laman web, termasuk Harakahdaily.com .

Ia juga menerbitkan kata-kata aluan daripada Canselor universiti itu Sultan Azlan Shah dan Naib Canselor.

Pada halaman 4, terdapat senarai sidang pengarang Varsiti 2001 yang diketuai Maria Abd Majid dan halaman 6 menyiarkan senarai lengkap barisan pemimpin MPMUM, diketuai Mohd Fuad Mohd Ikhwan.