Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kenyataan Chin Tong, pengerusi DAP Johor berkaitan kemungkinan yang bakal berlaku di Johor pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, dianggap sebagai “andaian semata-mata” oleh Tan Sri Shahrir Samad, orang besar politik Johor.

Shahrir menambah, ‘andaian’ Chin Tong ini seolah-olah BN Johor tidak berbuat apa-apa untuk merampas kembali kerusi-kerusi mereka yang tewas pada PRU13 yang lalu.

Dengan kata lain, apakah Chin Tong ingat BN Johor ini tunggul mati yang tidak berbuat apa-apa untuk kelangsungan hayatnya? Kelihatan Chin Tong ini naif sangat.

Kenyataan dari kedua-dua tokoh ini harus dibaca dengan hati-hati oleh politikus dan rakyat.

Pertama, mungkin benar kata Shahrir ( gambar ) jika 10 peratus undi Melayu beralih arah, parlimen Johor Bahru (sebagai contoh), masih kekal kepada BN dengan majoriti yang tipis.

Tetapi beliau lupa bahawa faktor calon memain peranan yang amat penting. Tambahan pula, beliau telah mengumumkan untuk tidak lagi bertanding pada pilihan raya yang akan datang.

Senario ini perlu kita sedar bahawa, faktor calon di sebelah BN memainkan peranan yang penting, berbeza di sebelah pembangkang yang rata-rata mengundi untuk parti, baik DAP, PKR atau PAS.

Shahrir sendiri telah membuktikan bahawa kemenangan beliau pada pilihan raya kecil 1988, adalah kerana faktor calon (beliau), bukan kerana parti.

Jadi, adakah calon pengganti beliau di kerusi parlimen Johor Bahru ini setaraf beliau? Siapa lagi tokoh besar di Johor yang setara dengan Shahrir?

Berbanding pembangkang, rata-rata kerusi yang dimenangi khususnya di Johor, bukanlah atas faktor ketokohan calon (kecuali Gelang Patah), sebaliknya atas sokongan kepada parti politik.

Pemboleh ubah lain

Berapa banyak kerusi DUN yang dimenangi DAP yang mana calon-calonnya bawah usia 35 tahun dan tiada pengalaman luas seperti beliau.

Ketika ini juga, Umno khususnya, sedang berhadapan dengan krisis kepimpinan yang sangat kritikal.

Masalah integriti dan krisis kepercayaan kepada pucuk pimpinan, cukup parah. Faktor-faktor ini diselubungi lagi dengan kekacauan berpuak-puak dalam partinya.

Jadi, yang dikatakan lima atau sepuluh peratus oleh Chin Tong itu, jumlahnya tidak boleh dikira dengan jari atau kalkulator sahaja, kerana ada faktor pemboleh ubah yang lain yang akan menentukan lima atau sepuluh peratus itu sebanyak mana.

Ini belum termasuk pengundi baru.

Kedua, hujah Shahrir bahawa kerusi yang ditandingi DAP hanya berbaki satu di DUN Paloh dan satu lagi parlimen Tanjung Piai.

Beliau mengatakan bagaimana Chin Tong begitu yakin bahawa PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) mampu menyumbang sembilan lagi kerusi yang selebihnya.

Ini satu kenyataan yang cukup cekap oleh politikus besar dan berpengalaman seperti Shahrir.

Beliau memahami bahawa selain ‘menembak’ BN Johor, Chin Tong juga sedang memberi tekanan kepada rakan parti iaitu PKR dan AMANAH untuk menyumbang kerusi lain menerusi sasaran peratusan yang diberinya.

Maka kenyataan Shahrir, seakan tersembunyi satu mesej ‘memperlekeh’ kemampuan PKR dan AMANAH Johor untuk menyahut cabaran Chin Tong dalam PRU14 itu.

Dari satu sisi yang lain, ini boleh menjadi satu cubaan oleh Shahrir untuk melemahkan ikatan Pakatan Harapan di Johor.

Sanggup BN Johor jadi pembangkang?

BN Johor sememangnya bukan satu lawan yang mudah dijinakkan.

Untuk Pakatan Harapan Johor mengambil alih kerajaan negeri sememangnya cukup sukar.

Tetapi kesukaran ini boleh diringankan dengan menafikan majoriti dua pertiga kuasa BN di Dewan Negeri Johor terlebih dahulu.

Dilema terbesar BN Johor ketika ini sama ada mempertahankan parti atau presidennya, atau kedua-duanya.

Suka atau tidak, faktor presiden Umno ini telah memecah-belahkan Umno dan BN Johor.

Untuk menyingkirkan presidennya, mereka harus bekerjasama dengan Tun Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan DAP, AMANAH dan PKR.

Tetapi jika mereka bertekad untuk mempertahankan partinya, pasti mereka akan berdepan dengan kesukaran yang lebih hebat dari 2013.

Hari ini isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kelesuan ekonomi dan kelemahan kerajaan pimpinan Najib termasuk dakwaan skandal dan imej peribadinya, adalah lebih kritikal berbanding isu NFC dahulu.

Dan hari ini, kesemua ini adalah resipi yang mencukupi untuk membuatkan Umno hilang kuasa di parlimen.

Sanggupkah BN Johor menjadi negeri pembangkang bawah kuasa kerajaan pusat Pakatan Harapan?


MAHDZIR IBRAHIM bekas calon parlimen Tanjung Piai merangkap pengarah biro pendidikan politik DAP Johor.

Lihat Komen
ADS