'Mahathir mahu naikkan individu tertentu jadi PM'
Serangan berterusan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin kerana dendam atau mahu menaikkan individu tertentu sebagai perdana menteri.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tindakan bekas perdana menteri itu juga mungkin untuk kepentingan ahli keluarganya.
“Apa yang dilakukan selama ini menunjukkan beliau melakukannya untuk individu yang beliau hendak naikkan menjadi presiden parti atau menjadi perdana menteri.
“Beliau pernah melakukan perbuatan yang sama menjatuhkan perdana menteri sebelum ini dan beliau akan terus melakukan perkara yang sama,” Hamzah dilaporkan sebagai berkata kepada Utusan Malaysia.
Kata Hamzah lagi, isu derma RM2.6 bilion yang sering dibangkitkan oleh Dr Mahathir sepatutnya sudah selesai.
Ia kerana pihak yang memberi derma itu sudah membuat pengakuan berkenaan sumbangan yang diberikan adalah tulen tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
Sebelum ini Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir mengaku bahawa sumbangan derma kepada perdana menteri datang dari negara itu.
Al-Jubeir dilaporkan memberitahu wartawan Malaysia di Istanbul bahawa kerajaan Saudi sedar derma itu adalah tulen tanpa mengharapkan balasan.
Semalam, WSJ mendakwa bahawa sebahagian wang daripada syarikat palsu Aabar Investments PJS berakhir di Tanore Finance Corp yang juga berpangkalan di Kepulauan British Virgin, entiti sama yang memindahkan AS$681 juta ke dalam akaun bank peribadi Najib.
1MDB dilapor memindahkan AS$3.5 bilion kepada sebuah syarikat yang berpangkalan di Kepulauan British Virgin yang mempunyai nama yang sama dengan anak syarikat, International Petroleum Investment Company (IPIC) - Aabar Investments PJS - tetapi tidak mempunyai kaitan dengan firma milik dana Abu Dhabi itu.
Setiausaha Akhbar Perdana Menteri menolak dakwaan itu sebagai satu pembohongan yang dijaja oleh Dr Mahathir.
Najib berulang kali menafikan beliau menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi dan menyalahkan individu dan kumpulan yang berkomplot cuba menggulingkannya.
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga telah ‘membersihkan’ perdana menteri daripada sebarang salah laku.
Mengulas lanjut, Hamzah menggesa ahli Umno supaya mengamalkan konsep tabayyun iaitu berhati-hati dan teliti dalam membuat kesimpulan terhadap sesuatu perkara.
Beliau berkata, konsep itu menuntut sesuatu yang belum pasti kebenarannya diselidik terlebih dahulu.
"Ahli Umno lebih memahami dan melakukan kajian setelah mengambil kira dan mendengar keputusan serta hasil penyiasat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bahawa perdana menteri tiada kaitan dalam isu derma RM2.6 bilion mahupun 1MDB," katanya.

