Program Permata Negara (PERMATA) akan mengadakan persidangan peringkat antarabangsa bagi memberi penekanan tentang pentingnya perkhidmatan pendidikan kepada kanak-kanak dan remaja.
Penaungnya Datin Seri Rosmah Mansor berkata, persidangan yang akan diadakan pada 31 Mei depan itu juga bertujuan untuk memberi pemahaman tentang pembangunan pertumbuhan optimum kanak-kanak.
"Saya percaya kanak-kanak mempunyai yang mempunyai daya intelektual yang tinggi berupaya menguasai kemahiran yang tertentu sekiranya mereka disediakan platform untuk mengembangkan bakat masing-masing.
"Kanak-kanak yang diterap dengan pendidikan berkualiti akan menunjukkan perkembangan yang positif," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis Pra Pelancaran Persidangan Antarabangsa PERMATA 2016 di Seri Perdana, Putrajaya hari ini.
Selain itu, isteri perdana menteri itu memberitahu, persidangan itu juga akan menggabungkan kesemua tujuh bidang PERMATA.
Tujuh bidang itu meliputi PERMATA Negara, PERMATA Pintar, PERMATA Seni, PERMATA Insan, Perkasa Remaja, PERMATA Kurnia dan Hospital Pakar Kanak-kanak PERMATA.
Beliau juga memberitahu setakat ini seramai 986 peserta dari dalam negara telah mendaftar untuk menyertai persidangan itu.
Sehubungan itu beliau juga mengharapkan sekurang-kurangnya 200 peserta di peringkat antarabangsa untuk menyertai persidangan berkenaan.
"Walaupun kami mengharapkan sekurang-kurangnya 200 peserta antarabangsa namun bilangannya masih berkurangan. Kami akan terus berusaha untuk menambah bilangan tersebut," katanya.
Dalam persidangan ini juga, ia akan dilengkapkan lagi dengan sesi ' high level forum ' apabila wanita-wanita pertama akan hadir bagi mengetengahkan suara mereka.
Ia juga merupakan platform bagi para isteri pemimpin untuk berkongsi pengalaman dan cabaran dalam melaksanakan program berkaitan kanak-kanak di negara masing-masing.
"Kita telah jemput 42 buah negara tetapi setakat ini baru empat negara yang memberi jawapan. Biasanya mereka akan beri jawapan dua minggu sebelum program.
"Apapun kami sedang membuat tindakan susulan di setiap kedutaan supaya memberi jawapan kerana kita perlu menyediakan logistik," katanya dalam sidang media selepas sesi pelancaran.
Persidangan ini juga mengalu-alukan ahli akademik, pengkaji dan pembuat dasar, pegawai kerajaan, ahli perubatan, guru, ibu bapa dan NGO yang berminat dalam pembangunan dan pendidikan awal kanak-kanak, autisme, remaja berisiko dan kesihatan kanak-kanak.
Ia kerana persidangan ini akan dihadiri oleh 15 penceramah terkemuka dari luar negara dan 33 penceramah tempatan dari pelbagai bidang kepakaran.
